DW21 dirasmikan secara maya

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Lebih 90 orang menghadiri Majlis Perasmian Minggu Reka Bentuk 2021 (DW21) yang diadakan secara dalam talian menggunakan platform zoom, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Javed Ahmad di mana DARe adalah rakan kongsi utama DW21.

Turut hadir ialah Penolong Naib Canselor (Inovasi dan Perusahaan) Universiti Brunei Darussalam (UBD), Profesor Dr Mohd Ayub Sadiq @ Lin Naing bagi pihak naib canselor UBD.

Semasa majlis perasmian itu, pengarah-pengarah eksekutif DW21, Dr Rui Oliveira Lopes dan Haji Osman bin Haji Mohammad telah membentangkan mengenai anugerah-anugerah DW yang antara lain bertujuan untuk mengetengahkan kecemerlangan dan inovasi dalam reka bentuk dan mengiktiraf peranan reka bentuk dalam setiap aspek kehidupan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, panel penghakiman, yang merangkumi pereka antarabangsa dan profesional industri kebangsaan terpilih, mengkaji penyerahan daripada para pereka, kreatif, dan agensi di Negara Brunei Darussalam.

Antara yang menghadiri majlis perasmian DW21 secara maya, kelmarin. – Gambar serahan UBD

Untuk majlis perasmian, Dr Lopes turut mengumumkan Pilihan Juri, Honourable Mentions dan penyertaan yang tersenarai dalam pelbagai kategori termasuk Seni Bina, Reka Bentuk Komunikasi, Reka Bentuk Digital, Reka Bentuk Fesyen, Reka Bentuk Produk, Reka Bentuk Ruang dan Dalaman, Sivik atau Bukan Untung, dan Pelajar.

Beliau turut membawa peserta melawat secara maya ke pameran anugerah yang mana pameran anugerah secara maya itu dibuka untuk orang ramai dan ia boleh disaksikan secara dalam talian di bahagian Reka Bentuk laman web DW21.

Kenyataan menyatakan, ceramah dan sesi DW21 telah bermula pada 16 September lalu dan akan diteruskan sehingga 26 September depan.

Sesi tersebut merangkumi pelbagai bidang di bawah empat tema untuk DW21 tahun ini, iaitu Reka Bentuk Lestari, Bandar Kreatif atau Pintar, Identiti Budaya, dan Masa Depan Kerja Reka Bentuk.

Untuk keterangan lebih lanjut atau untuk mengadakan lawatan secara maya, sila layari laman sesawang DW21 di http://designweek.com.bn atau hubungi jawatankuasa penganjur di alamat designweek.bn@gmail.com.