DW21 mulai 11 September

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Bagi meluaskan lagi pengetahuan dan kemahiran dalam industri kreatif menerusi perbincangan dan perkongsian, Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan mengadakan Design Week 2021 (DW21) di Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), universiti berkenaan selama 11 hari bermula 16 September depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, DW21 akan menampilkan pelbagai acara dan pembentangan dengan kerjasama beberapa orang profesional industri reka bentuk, bagi membincangkan peranan amalan reka bentuk dalam industri kreatif dan sektor lain dalam ekonomi tempatan, serantau dan global.

Antara yang dimuatkan ialah ucaptama bertajuk Design as an Attitude yang akan disampaikan oleh Alice Rawsthorn yang merupakan pengkritik reka bentuk yang memenangi anugerah dan pengarang buku reka bentuk yang terkenal.

Beliau akan membincangkan bagaimana golongan pereka generasi muda dalam dunia digital memperkasakan seni reka bentuk menggunakan alat digital yang berpatutan dan mudah diakses untuk mengubah amalan atau latihan dan juga gaya reka bentuk.

Selain itu, DW21 juga akan mengetengahkan masterclasses yang akan dikendalikan oleh Peter Gould, seorang pereka bentuk yang melihat reka bentuk sebagai amalan kerohanian; Jorge dos Reis iaitu jurutipografi yang menganggap tipografi sebagai salah satu elemen utama dalam rekaan grafik, dan Jesvin Yeo, pereka berbagai-bagai disiplin dan pendidik yang melihat rekaan sebagai artifak kebudayaan.

Turut diketengahkan adalah beberapa masterclasses, bengkel dan pembentangan reka bentuk daripada kalangan para profesional, pereka dan kreatif tempatan yang terdiri daripada pereka yang berpusat di Brunei dengan pengalaman luas dalam reka bentuk fesyen dan dalaman.

Untuk maklumat lebih lanjut, bolehlah melayari laman sesawang dan akaun Instagram rasmi DW21 atau dengan menghubungi ahli jawatankuasa penganjur dengan menghantar e-mel.