Dwan terkilan dipandang pembawa virus

Insiden pemilik restoran yang pada mulanya rancak berborak, tiba-tiba menjauhkan diri sebaik menyedari dia bertugas sebagai sukarelawan yang menguruskan jenazah mangsa COVID-19, menyentuh emosi pelakon Tanah Kubur, Dwan Hamid.

Berkongsi kisah itu, Dwan yang ketika itu berkunjung ke sebuah restoran di ibu negara, bersama seorang lagi anggota sukarelawan, menyaksikan sendiri bagaimana masih ada individu yang fobia dan bersikap prejudis terhadap sukarelawan yang mengendalikan pesakit wabak itu.

“Situasi itu agak menyedihkan. Bayangkan sebelum itu, kami rancak berbual dengan pemilik kedai yang tidak memakai pelitup muka. Namun, selepas dia tahu kami bekerja sebagai pengurus jenazah COVID-19, dia cepat-cepat beredar selepas hampir setengah jam berborak dengannya.

“Alasan dia berbuat demikian kerana takut kami bawa virus COVID-19 hingga boleh berjangkit kepadanya.

“Saya dan teman saya sedih dilayan begitu. Kami anggap apa yang kami buat sebagai sukarelawan adalah pekerjaan mulia, namun, ternyata di mata manusia, masih ada yang tidak boleh menerimanya,” katanya kepada media.

Dwan tidak menafikan, ada ketikanya, tugas sukarelawan memerlukan dia bergelumang dengan darah. – Agensi

Menceritakan pengalaman menjadi sukarelawan sejak lebih tiga bulan lalu, Dwan atau nama sebenar, Muhammad Ridzuan Shahul Hamid, terkenang waris yang tidak berpeluang menatap wajah ahli keluarga yang meninggal dunia, kecuali seorang yang diminta membuat pengecaman, buat kali terakhir.

Bukan itu sahaja, ahli keluarga tidak dibenarkan mendakap atau mengucup jenazah seperti yang lazim dilihat bagi kes kematian yang bukan berpunca daripada wabak berbahaya.

Menceritakan rutin pekerjaannya, Dwan berkata, prosedur ketat dilaksanakan bagi mengelak kemungkinan penularan virus dari tubuh si mati.

Dwan berkata, persepsinya terhadap penyakit COVID-19 yang disangkakan ‘main-main’ berubah selepas ibu bapa, anak saudara dan adik ipar dijangkiti virus itu. Malah, Dwan sanggup mendaftar sebagai sukarelawan semata-mata meyakinkan dirinya virus itu wujud.

Terus bercerita, Dwan teringat kenangan menguruskan jenazah wanita yang kelihatan cantik, wangi dan aurat yang ditutup sempurna. Pernah juga Dwan melalui detik menyeramkan apabila jenazah yang ingin diuruskan, tiba-tiba hilang.

“Sebenarnya, jenazah itu bukanlah hilang. Apa yang berlaku, hijab saya dan kawan seolah-olah ditutup.

“Mengikut mereka yang lebih berpengalaman, mungkin ketika menguruskan jenazah itu, kami terlalu seronok atau berasakan diri hebat. Jadi Allah sengaja menguji kami,” ujarnya. – Agensi