Dwayne Johnson dan keluarga pulih daripada COVID-19

Pelakon Amerika Syarikat (AS) dan bekas ahli gusti Dwayne ‘The Rock’ Johnson berkata beliau dan keluarganya yang disahkan positif COVID-19 kini sudah pulih, lapor agensi berita Sputnik.

“Saya, isteri, Lauren dan dua anak perempuan saya,  kami semua diuji positif COVID-19,” kata Johnson pada Rabu dalam satu video yang dimuat naik di laman Instagramnya.

Beliau menekankan seluruh ahli keluarganya telah pulih daripada jangkitan COVID-19.

“Saya boleh katakan ini adalah salah satu perkara yang paling mencabar dan sukar yang harus kami harungi sebagai sebuah keluarga,” tambah pelakon itu. Johnson terkenal dengan peranannya dalam francais The Scorpion King (2002), Doom (2005), Fast and Furious dan Jumanji.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan wabak COVID-19 sebagai pandemik pada 11 Mac. Sehingga kini, lebih daripada 25.9 juta orang telah dijangkiti dengan virus itu di seluruh dunia, dengan lebih daripada 861,000 kematian, menurut Universiti Johns Hopkins. – Bernama

Dwayne Johnson dan keluarganya yang disahkan positif COVID-19 kini sudah pulih. – Agensi