Dybala bantu Juventus mara Liga Juara-Juara

TURIN, ITALI, 3 NOV – Dua gol Kapten Paulo Dybala membantu Juventus menang 4-2 ke atas Zenit Saint Petersburg kelmarin ketika pasukan Turin itu mengesahkan tempat mereka dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara musim ini dengan baki dua perlawanan kumpulan.

Juve mengekalkan rekod 100 peratus mereka dalam Kumpulan H, yang mana mereka mendahului tiga mata daripada juara Eropah, Chelsea, yang menang 1-0 menentang Malmo di Sweden sebelum ini.

Pasukan kendalian Massimiliano Allegri itu juga sembilan mata di depan Zenit di tempat ketiga, yang bermaksud tempat mereka dalam peringat kalah mati terjamin.

Tendangan Dybala terkena tiang sejurus sebelum menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-11, walaupun Zenit menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama apabila Leonardo Bonucci menanduk masuk hantaran lintang daripada Vyacheslav Karavaew ke gawangnya sendiri.

Bagaimanapun, Dybala mengembalikan mata pendahuluan Juve pada minit ke-58, dengan menyempurnakan sepakan penalti selepas gagal pada mulanya dan hanya diberikan sepakan penalti semula atas kesalahan pencerobohan.

Federico Chiesa, yang telah memenangi sepakan pe-nalti, menjadikan kedudukan 3-1 untuk pemenang piala Eropah dua kali itu pada minit ke-73 dan Alvaro Morata menjaringkan gol keempat untuk Juventus.

Pemain Iran, Sardar Azmoun kemudian memberikan satu gol pada masa kecederaan untuk Zenit, yang masih mengekalkan peluang tipis untuk menewaskan Chelsea di tempat kedua. – AFP

Aksi pemain depan Juventus, Paulo Dybala menendang dan menjaringkan gol penalti dalam perlawanan Kumpulan H Liga Juara-Juara menentang Zenit di Turin kelmarin. – AFP