Dynamik kekalkan ML3 CMMI

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Dynamik Technologies mengumumkan bahawa mereka telah berjaya dinilai semula pada Tahap 3 Kematangan (ML3) bagi Integrasi Model Kematangan Keupayaan (CMMI) V2.0 Institut
CMMI.

Dynamik Technologies juga merupakan yang pertama di Rantau Asia Tenggara dan ke-8 di Rantau Asia-Pasifik yang dinilai dengan Model CMMI v2.0 yang dikemas kini bagi ML3. Penilaian berkenaan telah dijalankan oleh mfQ Asia pada suku terakhir 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies, Dayang Haslina binti Haji Mohd Ta’ib pada sidang akhbar yang diadakan di Tingkat 7, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggrerek Desa, hari ini, berkata bahawa pencapaian berkenaan terus meletakkan Dynamik Technologies sebagai satu-satunya syarikat IT tempatan yang setaraf dengan organisasi bertaraf dunia dari segi amalan terbaik dalam perisian dan perkembangan organisasi.

“Kami sangat berterima kasih atas penilaian yang berjaya ini. Ini menekankan keupayaan kami untuk menyumbang kepada peningkatan kecekapan perkhidmatan melalui sistem centric rakyat dan pelanggan bagi kerajaan dan sektor swasta,” tegasnya.

Menurut kenyataan yang diberikan, CMMI adalah rangka kerja penambahbaikan keupayaan yang menyediakan organisasi dengan elemen-elemen penting dalam proses berkesan yang akhirnya meningkatkan prestasi mereka.

Dayang Haslina ketika sidang media di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggrerek Desa, kelmarin.

Institut CMMI adalah pemimpin global dalam kemajuan amalan terbaik dalam tenaga kerja, proses dan teknologi. Ia bertujuan untuk memberi inspirasi kepada budaya peningkatan berterusan dalam keupayaan perniagaan kritikal termasuk perkembangan produk, kecemerlangan perkhidmatan dan pengurusan tenaga kerja.

Penilaian pada ML3 menunjukkan organisasi tersebut beroperasi pada tahap ‘jelas’ di mana pada tahap ini, proses-proses digambarkan dan difahami dengan baik serta dijelaskan dalam standard-standard, prosedur, alat dan metode.

Set proses standard organisasi, yang menjadi asas untuk ML3, dibangunkan dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Dynamik Technologies telah dinilai pada ML3 tiga kali berturut-turut, dengan penilaian yang dilakukan setiap tiga tahun.

Kali ini, lapan projek dinilai di seluruh operasi, integrasi dan kualiti, pembangunan perniagaan dan pasukan sumber-sumber manusia; meliputi perkembangan perisian, perkhidmatan pengurusan, penyelenggaraan dan sokongan, jaminan kualiti projek serta program latihan organisasi.