Dynamik, Progresif sumbang komputer riba

Oleh Sim Y. H

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Dynamik Technologies dan Progresif mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan Maya bagi Kempen Goals for Education, kelmarin, di mana sebanyak 20 unit komputer riba disampaikan kepada Pusat Pembangunan Belia (PPB)bagi pelajar-pelajar yang memerlukan peranti untuk memudahkan pembelajaran dalam talian dengan pusat berkenaan mengendalikan pembelajaran secara maya pada awal Ogos lalu semasa gelombang kedua penularan pandemik COVID-19.

Majlis penyerahan sumbangan maya berkenaan dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Penolong Pengarah dan Ketua PPB, Dayang Fauziah binti Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies Sdn Bhd, Dayang Haslina binti Haji Mohd Taib; Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Sdn Bhd, Hajah Nurul Haniah binti Haji Mohd Jaafar serta pegawai-pegawai kanan dari KKBS, PPB, Dynamik Technologies dan Progresif.

Acara secara maya itu merupakan majlis penyerahan maya kali kedua yang dianjurkan oleh Dynamik Technologies dan Progresif dengan acara penyerahan pertama telah diadakan pada September lalu di mana sebanyak 78 peranti telah disumbangkan kepada Kementerian Pendidikan.

Kempen itu merupakan sebahagian daripada pendekatan seluruh negara (whole of nation) syarikat-syarikat berkenaan yang bertujuan untuk menyokong inisiatif pembelajaran dalam talian dan pelajar-pelajar yang memerlukan peranti ICT di seluruh negara.

Dalam kata alu-aluannya, Dayang Haslina menyatakan bahawa sehingga kini, sebanyak $48,067.71 berjaya dikumpulkan dan bersyukur kerana diberikan peluang untuk menggunakan sebahagian daripada kutipan berkenaan untuk membeli 20 unit komputer riba yang disumbangkan kepada PPB bagi pelajar-pelajar untuk mengendalikan pelajaran ICT mereka dari rumah.

Pengiran Mohammad Amirrizal semasa menyampaikan ucapannya pada majlis yang berlangsung secara maya kelmarin. – Gambar serahan Progresif

Manakala itu, Hajah Nurul Haniah berkata penularan COVID-19 terbaharu ini telah mengingatkan kepada kita betapa pentingnya pendidikan kepada kehidupan masyarakat, komuniti dan individu serta berharap pengedaran komputer riba berkenaan akan dapat membantu memudahkan pembelajaran.

Krisis kesihatan COVID-19, ulasnya lagi, telah menjana keadaan yang luar biasa yang menjejaskan kehidupan dan menyebabkan gangguan kepada ekonomi, sosial dan pendidikan.

Daripada menyediakan teknologi hingga kesalinghubungan, Progresif adalah lebih daripada hanya perkhidmatan dan produk di mana tanggungjawab sosial korporat memainkan peranan yang besar bagi syarikat berkenaan.

Ikrar 1 Peratus (1% Pledge) Progresif adalah komited untuk memacu perubahan positif dalam masyarakat. Goals for Education merupakan satu cara untuk membantu membina sebuah negara yang perkasa kerana akses yang saksama kepada pendidikan merupakan kunci membangunkan sebuah komuniti berkembang maju.

Sementara itu, Pengiran Mohammad Amirrizal ketika berucap di majlis itu, berkata bahawa golongan belia merupakan masa hadapan negara dan pembangunan belia adalah amat penting di mana kejayaan dalam membangunkan belia itu akan menentukan masa depan negara.

“Belia kita dapat disaksikan menyumbang kepada pembangunan negara dengan menangani pelbagai isu-isu mencabar masyarakat termasuk pengangguran.

“Jika gelombang pertama COVID-19 telah mengajar kita untuk menyesuaikan diri kepada norma baharu, gelombang kedua pula, telah mempersiapkan kita untuk beroperasi dan menormalkan pendigitalan,” ujarnya.

Pengiran Mohammad Amirrizal berkata PPB juga tidak terkecuali daripada pendigitalan itu.

Beliau menambah pembelajaran dalam talian bukannya sesuatu yang mudah dan inklusif bagi semua pelatih pusat berkenaan kerana terdapat pelatih-pelatih yang terhalang disebabkan oleh pelbagai cabaran seperti kurang akses kepada teknologi.