Dynamik Technologies, Progresif kendali kempen sumbangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Dynamik Technologies dan Progresif bekerjasama mengendalikan kempen sumbangan dinamakan Goals for Education – Your Goals Matter for their Goals yang telah dilancarkan baru-baru ini.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Dynamik Technologies dan Progresif, kempen tersebut adalah sebahagian daripada pendekatan seluruh negara kedua-dua syarikat berkenaan yang bermatlamat untuk menyokong inisiatif-inisiatif pembelajaran dalam talian dan pelajar-pelajar yang memerlukan peranti ICT di seluruh negara.

Kenyataan menyatakan, kempen bertujuan merapatkan jurang dalam memastikan pelajar-pelajar di negara ini mempunyai akses kepada teknologi untuk mengikuti pembelajaran dalam talian di rumah.

Kempen dibahagikan kepada dua kategori iaitu Cabaran 555 yang terbuka kepada orang awam di mana setiap orang membuat lima sasaran yang boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan.

Di bawah kategori ini, orang ramai boleh menyumbangkan $5 menerusi Progresif Pay atau BIBD Online dan muat naik klip video mengenai sasaran berkenaan pada akaun Instagram dan mencalonkan lima yang lain untuk melakukan yang sama. Kategori kedua adalah Cabaran 1Co yang terbuka dengan pencalonan dalam kalangan pertubuhan atau syarikat-syarikat. Sebuah syarikat atau pertubuhan akan dicalonkan untuk berjanji dan menyumbangkan $250 atau lebih. Syarikat atau pertubuhan berkenaan akan memuat naik janji berkenaan dan mencalonkan syarikat lain untuk melakukan langkah sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Progresif mengumumkan kerjasama mengendalikan kempen sumbangan Goals for Eudcation – Your Gols Matter for their Goals.

Hasil daripada kempen sumbangan berkenaan akan digunakan untuk membeli komputer-komputer riba, tablet dan komputer. Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies, Dayang Haslina Taib dipetik menyatakan, “Di Dynamik Technologies, kami mempercayai kepentingan akses digital untuk semua dan belia berada di barisan depan dalam menangani hasil yang lebih saksama bagi masa depan negara kita.

“Kami berharap, menerusi Goals for Education, kita sebagai komuniti dapat membantu menyediakan alat bagi pelajar menjalankan pembelajaran di rumah,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, bekerja di tempat-tempat berlainan malah berlainan sempadan bagi objektif sama adalah norma baharu dan COVID-19 telah mempercepatkan pencapaian banyak kejayaan.

“Marilah kita terus membuka jalan bagi lebih ramai belia yang ‘Dynamik’ dan ‘Progresif’,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah pula berkata, “Sebagai sebuah syarikat yang misinya adalah untuk memaksimumkan kemungkinan ICT bagi membolehkan orang ramai mendapat manfaat daripada kehidupan yang saling berhubung, kami lebih mengetahui mengenai betapa pentingnya akses komputer kepada belia kita.

“Sebab inilah, polisi tanggungjawab sosial korporat Progresif sentiasa menyumbang kepada pendidikan dan keusahawanan digital dan akan terus menyokong inisiatif-inisiatif seperti ini, yang membawa kita lebih dekat kepada wawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Wawasan Brunei 2035,” tambah beliau.

Sehubungan dengan itu, Dynamik dan Progresif mengalu-alukan orang ramai untuk mengambil bahagian dalam kempen tersebut dan membantu menyokong Goals For Education.