Dynamik Technologies sokong 7 pertubuhan amal

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Dynamik Technologies telah menyerahkan sumbangan berjumlah $2,888.40 keseluruhannya kepada tujuh pertubuhan amal di bawah Program Dynamik Charity Pledge untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Dynamik Technologies, sumbangan berkenaan telah diserahkan pada majlis secara maya, baru-baru ini, yang dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies, Dayang Haslina binti Taib.

Pertubuhan amal yang menerima sumbangan berkenaan adalah Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), Goals For Education, Yayasan Kanser Kanak-Kanak Brunei (YASKA), Society for Community Outreach & Training (SCOT), Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, SMARTER Brunei dan Down Syndrome Association Brunei (ABLE).

Dayang Haslina dalam ucapan alu-aluannya dipetik berkata, apabila kempen berkenan bermula, mereka mendapat sedikit bantuan daripada kakitangan dan klien di mana mereka berpeluang memilih pertubuhan amal yang ditentukan lebih awal dan Dynamik Technologies menyampaikan sumbangan bagi pihak mereka.

“Responsnya adalah menggalakkan yang membuatkan kami memutuskan untuk melanjutkan peluang ini dan mengedarkan kod-kod QR bukan sahaja kepada klien malah kepada orang awam serta menerusi paket-paket Hari Raya, acara-acara sosial dan kempen media sosial kami,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, pandemik ini tidak mematahkan semangat mereka sebaliknya menekankan lagi keprihatinan masyarakat. Kenyataan menjelaskan, kempen berkenaan dilancarkan pada 2020 semasa sambutan ulang tahun Dynamik Technologies ke-19.

Disebabkan COVID-19, acara-acara korporat mereka dibatalkan dan Dynamik menggunakan peruntukan yang ditetapkan untuk memberi balik kepada masyarakat dan membantu mereka yang memerlukan.

Dayang Haslina menyempurnakan penyerahan sumbangan kepada tujuh pertubuhan amal yang diadakan secara maya, baru-baru ini. – Gambar serahan Dynamik Technologies