Dyson: AS$3.7 bilion untuk tingkat rangkaian produk

LONDON, 27 NOV – Syarikat perkakas elektrik Britain, Dyson, yang terkenal dengan pembersih vakum tanpa beg, hari ini mengumumkan bahawa ia akan melabur AS$3.7 bilion untuk menggandakan rangkaian produknya pada tahun 2025.

Dyson berkata dalam satu kenyataan bahawa ia akan melabur sejumlah peruntukan itu bagi operasi di Britain, Filipina dan Singapura di bawah rancangan masa depannya selain akan menghasilkan barang elektrik untuk kegunaan di luar rumah.

Pengumuman itu muncul selepas Dyson mengetepikan rancangan tahun lalu untuk menghasilkan kereta elektrik atas kesimpulan bahawa projek itu secara komersial tidak dapat dilaksanakan.

Syarikat itu juga hari ini mengatakan bahawa rancangan pelaburan baharunya akan menyasarkan bateri, robotik, teknologi motor, produk pintar dan sebagainya.

“Kami meneruskan pengembangan operasi kami di Singapura, United Kingdom (UK) dan Asia Tenggara, sebagai langkah penting pembangunan masa depan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Dyson, Roland Krueger.

“Sekarang adalah masa untuk melabur dalam teknologi baharu seperti penyimpanan tenaga, robotik dan perisian yang akan mendorong prestasi dan kesinambungan dalam produk kami untuk kepentingan pelanggan Dyson.

“Kami akan mengembangkan kategori produk kami yang ada selain meningkatkan daya saing dalam bidang baharu untuk Dyson dalam tempoh lima tahun akan datang. Ini merupakan satu lagi bab baharu dalam pengembangan Dyson.”

Merujuk kepada teknologi bateri, kumpulan itu menambah bahawa pihaknya juga berusaha untuk menghasilkan ‘penyimpanan tenaga yang lebih selamat, bersih, tahan lama dan lebih efisien’ daripada bateri yang sedang digunakan.

Syarikat ini diasaskan oleh usahawan James Dyson, di mana pada bulan Mei lalu menduduki ranking teratas The Sunday Times dalam senarai individu Britain terkaya dengan nilai £16.2 bilion. – AFP