Thursday, October 10, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dzeko terajui kemenangan Roma

    MILAN, 8 Feb – Edin Dzeko menjaringkan dua gol untuk melonjak naik sebagai penjaring terbanyak Serie A awal pagi tadi apabila Roma mengekalkan pemburuan kejuaraan dengan kemenangan meyakinkan 4-0 ke atas Fiorentina.

    Perlawanan tersebut yang dijadual semula disebabkan perlawanan ragbi Six Nations antara Itali dan Wales, Roma menerima kunjungan pasukan Paulo Sousa dengan sedar bahawa kekalahan akan menyebabkan mereka kekal di tangga ketiga, tujuh mata di belakang pendahulu liga, juventus dan satu mata di belakang Napoli.

    Tetapi skuad Luciano Spalletti tidak dalam mood untuk mensia-siakan peluang bagi memburu gelaran dan mengekalkan pemburuan dengan persembahan dominan di Stadio Olimpico yang separuh kosong.

    Dengan kemenangan itu, Roma kini empat mata di belakang Juventus, namun gergasi Turin itu yang menyasarkan kejuaraan rekod keenam berturut-turut, akan membuka semula jurang tujuh mata jika mereka menewaskan Crotone awal pagi esok.

    Kerap dikritik kerana selalu mensia-siakan peluang menjaringkan gol, Dzeko membalas komen para pengkritiknya dengan bergaya dan Spalletti memberitahu Premium Sport: “Apabila dia membuat kesilapan semua orang bergegas untuk mengkritiknya, tetapi malam ini mereka tidak dapat berkata apa-apa mengenai Dzeko.

    Penyerang Roma, Edin Dzeko (dua kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika pertembungan Serie A antara Roma dan Fiorentina. – AP
    Penyerang Roma, Edin Dzeko (dua kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika pertembungan Serie A antara Roma dan Fiorentina. – AP

    Sousa mengakui: “Roma lebih bagus berbanding kami. Kami tidak memanfaatkan beberapa peluang yang kami ada. Kami agak cemas dan mereka pula klinikal.”

    Fiorentina memulakan perlawanan dengan baik dan apabila Federico Chiesa melepasi perangkap ofsaid, pasukan tuan rumah perlu berterima kasih kepada Federico Fazio selepas berjaya menghalang bola dari melepasi garisan selepas Chiesa membuat sepakan lambung melepas penjaga gol, Wojciech Szczesny.

    Stephan El Shaarawy dan Bruno Peres, dua kali nyaris menewaskan Ciprian Tatarusanu di awal permainan sementara penjaga gol itu melakukan tugas yang baik mematikan percubaan Dzeko.

    Jaringan pembukaan tiba apabila Daniele De Rossi menghantar bola tinggi yang dikawal oleh Dzeko menggunakan dadanya sebelum merembat rendah melepasi Tatarusanu tujuh minit sebelum rehat.

    De Rossi menghasilkan asis keduanya dalam perlawanan itu ketika perlawanan menghampiri satu jam apabila sepakan percumannya menemui Fazio bagi jaringan pertamanya musim ini.

    Apabila Fiorentina terperangkap dalam serangan balas, De Rossi membuat umpanan kepada Kevin Strootman di kiri dan kemudian kepada Radja Nainggolan, yang mengawal bola dengan baik sebelum menendang bola melepasi Tatarusanu.

    Dzeko mendapat jaringan keduanya ketika perlawanan berbaki tujuh minit apabila merampas bola dari Astori, yang terlepas kawalan, dan dengan tenang merembat gol menewaskan Tatarusanu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda