E-Forum kongsi amalan terbaik TVET

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Bersempena dengan Mesyuarat Lembaga Tadbir SEAMEO VOCTECH ke-32, E-Forum mengenai Menguruskan Cabaran-cabaran Pandemik dan Peluang-peluang TVET dalam Era Digitalisasi yang diadakan secara maya, hari ini.

Forum berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh.

Di samping tiga perbincangan panel yang melibatkan wakil negara anggota SEAMEO dan industri, ucaptama telah disampaikan oleh wakil Bank Pembangunan Asia (ADB), Filipina; Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC), Brunei Darussalam; Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Thailand; GIZ-RECOTVET, Vietnam; dan UNESCO-UNEVOC, Jerman.
Lebih 900 peserta dari 31 negara di seluruh rantau ini dan luar rantau telah menyertai forum berkenaan.

Pengarah Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Awang Alias ​​bin Haji Abu Bakar, dalam ucapan perasmiannya, berkongsi bahawa forum berkenaan direka untuk mengongsikan amalan institusi yang berkesan dan baik, pelbagai dasar negara yang dilaksanakan untuk mengatasi masalah yang dihadapi dan maklum balas pemain industri yang terus menyokong dan memudahkan pertumbuhan dan kemapanan industri.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa barisan penceramah daripada pelbagai agensi antarabangsa yang utama dan negara anggota itu memastikan peserta mendapat manfaat dengan pelbagai maklumat dan pandangan mengenai tema forum itu.

Sementara itu, Dr Chin Wei Keh menekankan bahawa forum berkenaan merupakan saluran terbaik untuk para peserta berkongsi, berbincang dan mengenal pasti dasar dan amalan TVET yang inovatif dari seluruh rantau Asia Tenggara dan luar rantau. 

Dalam forum itu, para peserta antara lain mendengar tentang dasar dan strategi TVET yang dilaksanakan oleh negara anggota SEAMEO untuk mengurus cabaran pandemik COVID-19 sambil memanfaatkan peluang yang diberikan.

Dr Chin Wei Keh ketika menghadiri forum secara dalam talian berkenaan. – Gambar serahan Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH