E-learning: masa dan cabaran bangkitkan kematangan

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Muiz Matdani

COVID-19 memberi impak besar kepada pelbagai sektor bukan saja sektor perniagaan malah bidang pendidikan sama ada peringkat rendah, menengah atau pusat pengajian tinggi di negara ini.

Walaupun negara yang pada masa ini berdepan dengan pandemik COVID-19, ia tidak menghalang pelajar untuk menerima pendidikan secara berterusan walaupun ia terpaksa dibuat dari rumah.

Ke arah usaha melahirkan generasi berpendidikan, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah segera dengan mengumumkan pelaksanaan pembelajaran dalam talian yang telah bermula pada 30 Mac yang lalu, memberikan cabaran baharu bukan sahaja kepada pendidik, malah kepada ibu bapa dan penjaga pelajar.

Setelah hampir sebulan semua peringkat sekolah dan pusat pengajian tinggi melaksanakan pembelajaran dalam talian ini, banyak perkara baharu dipelajari dan diterokai di samping cabaran yang dilalui bagi memberikan pendidikan yang berterusan kepada pelajar.

Penulis menemui Pemangku Pengetua Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Hajah Monaliza binti Haji Abdul Halim untuk mendapatkan perkongsian terkini mengenai cabaran-cabaran dan pandangan beliau mengenai pembelajaran dalam talian ini.

Hajah Monaliza ketika ditemu bual oleh media.

Salah seorang guru ketika menjalankan tugasan.
Tempat di mana setiap pelajar mengambil atau menghantar kerja-kerja rumah yang disediakan oleh setiap guru mereka.

Tradisional dan e-learning

Dua konsep penyampaian pengajaran iaitu tradisional dan e-learning ini mempunyai cabaran masing-masing di mana pengajaran menggunakan kaedah e-learning ini atau kaedah pengajaran online melibatkan penggunaan teknologi seperti komputer, komputer riba, iPad dan juga telefon pintar.

Manakala, bahan pengajaran dan pembelajaran disampaikan melalui media dengan menggunakan teks, grafik, animasi, simulasi, audio dan juga video.

Menurut Hajah Monaliza lagi, mereka juga harus menyediakan kemudahan untuk ‘kumpulan diskusi’ dan bantuan profesional isi pelajaran secara dalam talian.

Sementara, pembelajaran dengan kaedah tradisional, lazimnya digunakan oleh pensyarah untuk menyampaikan maklumat secara bersemuka dengan cara perbincangan pelajar dan guru atau guru sebagai penyampai dan pelajar mendengar dan mencatatnya.

Pada kebiasaannya ia menggunakan ‘whiteboard’ dan pengajaran kurang melibatkan penggunaan teknologi.

Respons terhadap pembelajaran dalam talian

Hajah Monaliza menjelaskan, banyak respons positif daripada pelajar di mana pelajar dapat berinteraksi dengan guru-guru secara aktif dan ramai pelajar memberikan kerjasama kepada guru-guru mereka semasa dalam penggunaan aplikasi bersesuaian seperti Zoom dan sebagainya, selain memberikan kerjasama dalam memastikan kehadiran setiap sesi pembelajaran.

Bukan setakat itu, tambahnya, ibu bapa juga turut memainkan peranan penting dalam memastikan pembelajaran anak-anak mereka berjalan dengan baik seperti yang dihasratkan.

Ibu bapa turut memberikan soko-ngan dalam menyediakan kemudahan dan peralatan teknologi bagi membantu anak-anak mereka mengikuti pembelajaran dalam talian.

Respons guru terhadap e-learning

Pada minggu pertama, guru-guru menghadapi cabaran dalam penggunaan aplikasi yang sesuai dan boleh diguna pakai dalam penyampaian pengajaran.

Selain itu, ramai dalam kalangan guru yang kurang mahir dalam menggunakan aplikasi online seperti Zoom, Miscrosoft Teams dan Googles Classrooms.

Ini membangkitkan keinginan kepada para guru menambah ilmu teknologi dengan menelitinya dan menerokainya lebih lanjut bagi menambah teknik pengajaran menggunakan teknologi ICT.

Terdapat juga guru-guru yang telah mengambil inisiatif awal menggunakan pengajaran secara dalam talian pada musim cuti sekolah penggal pertama sebagai percubaan sebelum penggal kedua bermula.

Pada minggu pertama sehingga kini, aplikasi yang paling kerap digunakan termasuklah Zoom, Microsoft Teams, Google Classroom, Webinar, Whatsapp Video Call, Powerpoint dan sebagainya, kata Hajah Monaliza.

Strategi maktab bermulanya e-learning

Beberapa langkah telah dilaksanakan iaitu mengadakan mesyuarat bersama semua ketua jabatan untuk berbincang kaedah pengajaran dan sumber pembelajaran yang dapat diguna pakai bagi setiap jabatan sama ada secara online atau hardcopy.

Di samping itu, pihak sekolah menyediakan platform e-learning dengan menggunakan Microsoft 365 dan Google Drive bagi memudahkan ketua-ketua jabatan mengumpul semua e-resources bagi memudahkan semua guru-guru dapat memuat turun e-resources untuk pengajaran.

Selain itu, pihak sekolah turut menyediakan peralatan sidang video, komputer riba, komputer dan Internet, bilik-bilik khas dan sebagainya.

Alternatif lain seperti HPL

Bagi pelajar yang tidak mempunyai kemudahan seperti akses internet, komputer, iPad, Chromebook, tablet atau telefon pintar, pihak maktab menyediakan Home Pack Learning (HPL) yang mana diambil pada hari-hari ditentukan oleh guru masing-masing.