E-Plus mula didagangkan di NSX

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Saham syarikat pengurusan acara yang berpangkalan di Malaysia, E-Plus Limited (E-Plus), mula didagangkan di National Stock Exchange of Australia (NSX), hari ini, dengan permodalan pasaran bernilai RM40 juta.

Dalam satu kenyataan, E-Plus berkata menerusi kod saham 8EP, syarikat itu menerbitkan 245 juta saham de-ngan harga permulaan pasaran pada AUD$0.05 (RM0.16) sesaham.

“Ia mengambil masa 12 tahun untuk membangunkan E-Plus kepada jenama global, dan segala kerja keras untuk itu akhirnya menjadi kenyataan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Andrew Ching.

Beliau berkata sebagai syarikat pengurusan acara pertama Malaysia yang disenaraikan di NSX, syarikat itu memperkukuh kedudukannya di rantau ini dan mahu terus meneroka peluang perniagaan di peringkat antarabangsa.

“Untuk masa hadapan, kami akan membuka lebih banyak pejabat operasi di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Perkhidmatan yang disediakan oleh E-Plus termasuk perkhidmatan pengurusan acara, perkhidmatan pelanggan dan perkhidmatan pemasaran bersepadu. – Bernama