E-rokok: Filipina kuat kuasa arahan tangkap

MANILA, 20 NOV – Hanya beberapa jam selepas Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengumumkan yang beliau akan mengharamkan penggunaan e-rokok atau lebih dikenali sebagai vape, polis hari ini diarahkan mula menangkap orang-orang yang didapati menghisap e-rokok itu di tempat awam dan merampas perantinya.

Larangan mendadak, didedahkan Duterte lewat semalam, menambah kepada respons tentangan meningkat global terhadap produk yang dahulunya dipromosikan sebagai kurang berbahaya berbanding rokok. Duterte menggelar peranti itu sebagai ‘toksik’ dan mengatakan menghisap vape memperkenalkan ‘kimia’ ke dalam tubuh pengguna.

Beliau kemudiannya mengancam untuk menangkap sesiapa sahaja yang merokok vape di tempat awam di sebuah negara yang sudah pun mempunyai peraturan antimerokok paling ketat di Asia. Tiada arahan rasmi atau bertulis yang diumumkan kepada awam yang menerangkan mengenai skop pengharaman atau hukuman bagi pelanggarannya.

Memetik ‘arahan presiden’, ketua polis Filipina mengarahkan ‘berkuat kuasa hari ini, semua unit polis di seluruh negara akan menguatkuasakan pengharaman penggunaan vape, memastikan semua mereka yang melanggarnya ditangkap,’ menurut satu kenyataan.

Pengharaman berlaku beberapa hari selepas pihak berkuasa Filipina melaporkan kecederaan paru-paru pertama berkaitan vape di negara itu yang mengakibatkan seorang remaja perempuan dimasukkan ke hospital. – AFP