KUALA LUMPUR, 16 Jan – Menjadi satu-satunya wakil dari Asia Tenggara pada kejohanan Piala FIFA Ultimate Team (FUT) di Barcelona, Muhd Luqman Haziq Haziman memandang serius terhadap cabarannya mewakili Malaysia pada saingan e-sukan bola sepak bertaraf antarabangsa itu.
Pelajar berusia 21 tahun itu telah membuat persiapan membiasakan diri bermain dengan individu yang berpengalaman di peringkat antarabangsa termasuk menyertai perlawanan dengan ramai pemain kompetitif dari Malaysia.
Luqman, dikenali sebagai Fenrir dalam arena maya, bakal ke Barcelona bagi menyertai FIFA eWorld Cup (FEWC) anjuran EA Sports dari 26 hingga 28 Jan ini yang pemenangnya bakal membawa pulang AS$200,000.
“Saya dah bersedia dan akan menggunakan taktik-taktik yang dipelajari sepanjang bulan lepas. Sekiranya menang kejohanan ini, saya akan diberikan anugerah serta berpeluang bertemu dengan pemain antarabangsa seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo,” katanya semasa dalam rancangan terbitan Bernama News Channel (BNC) hari ini.
Beliau merupakan antara 65 peserta yang layak ke kejohanan berprestij itu selepas memenangi pusingan kelayakan baru-baru ini.
“Saya berlatih lebih kurang lapan jam setiap hujung minggu dan pada masa yang sama saya memerhati secara teliti taktik yang digunakan oleh pemain bola sepak antarabangsa bagi mengakplikasikannya dalam kejohanan FUT ini,” katanya.
Selain itu, katanya, rehat yang cukup diperlukan sebagai persiapan saat akhir ini bagi merehatkan minda dan fizikal supaya tidak menimbulkan tekanan semasa perlawanan.
Fenrir akan berlepas ke Barcelona, Isnin depan. – Bernama