E-Tunai satu galakan tanpa tunai

KUALA LUMPUR, 19 JAN – Program e-Tunai Rakyat yang merupakan satu inisiatif menggalakkan budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai telah menerima sambutan yang baik daripada rakyat sejak dilancarkan pada 15 Jan 2020.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata agihan yang dibuat melalui platform ketiga-tiga pengendali e-dompet iaitu Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet itu merupakan langkah positif dan penting bertujuan meningkatkan kuasa beli rakyat demi merangsang perbelanjaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Ia juga merupakan inisiatif bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai,” katanya.

Gobind berkata inisiatif itu juga sekali gus mempercepatkan penggunaan e-dompet dalam masyarakat dan kalangan peniaga, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk runcit.

Tegasnya, ekonomi digital yang mampan dan rancak akan menarik pelaburan yang lebih berkualiti dan menjana pekerjaan bernilai tinggi supaya jurang pendapatan dapat dirapatkan dan ini katanya, penting untuk mencapai potensi pertumbuhan ekonomi negara. – Bernama