The Eagles tuntut gelaran kelab tertua

LONDON, 22 APRIL – Crystal Palace telah membuat tuntutan berani untuk dianggap sebagai kelab profesional tertua liga yang masih lagi bermain bola sepak profesional selepas kajian mendapati bahawa ia ditubuhkan pada tahun 1861.

Selama berdekad-dekad Notts County, yang kini bermain di divisyen lima liga kebangsaan England, telah dinamakan sebagai kelab profesional tertua yang ditubuhkan pada tahun 1862.

Tetapi pengarang Peter Manning, yang bekerja bagi pihak kelab Liga Perdana Inggeris, Crystal Palace, telah menemui hubung kait antara kelab Selatan London, yang ditubuhkan sebagai kelab profesional pada tahun 1905, dan sebuah pasukan kriket dan kelab bola sepak ditubuhkan setahun sebelum County.

Kajian mendapati terdapat hubungan langsung di antara kedua-dua pasukan menerusi pemilik mereka iaitu Syarikat Crystal Palace.

“Tanpa Crystal Palace dan Syarikat Crystal Palace tidak akan ada Kelab Bolasepak Crystal Palace,” kata Manning.

Crystal Palace telah membuat tuntutan untuk gelaran kelab profesional tertua liga dan mendakwa ia telah ditubuhkan pada tahun 1861. – AFP

“Ia sentiasa menjadi sebuah kelab dan sentiasa menjadi milik perniagaan Syarikat Crystal Palace.

“Oleh sebab penubuhan kelab bola sepak bermula pada tahun 1861, maka ia boleh mengaku sebagai kelab liga profesional tertua di dunia.”

Pengerusi Palace, Steve Parish berkata: “Sebagai peminat Crystal Palace sepanjang hidup saya, ia sangat hebat bahawa kami mempunyai tuntutan yang sah sebagai kelab liga profesional tertua yang masih wujud dan kami ada ketika perjumpaan pertama FA, dan sejarah kami yang tercatat sejak pasukan kriket Victoria pada tahun 1861 di Palace bahkan melibatkan W.G Grace.”

Pihak berkuasa bola sepak masih belum mengesahkan atau menidakkan kesahihan tuntutan Palace tersebut.

Sheffield FC, sebuah pasukan amatur yang bermain di Divisyen Tenggara Liga Perdana England, telah diiktiraf oleh FIFA sebagai kelab tertua di dunia selepas ia ditubuhkan pada tahun 1857. – AFP