BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Sepuluh tahun selepas Earth Hour pertama di Sydney, pergerakan penting Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) itu sekali lagi akan menghimpunkan berjuta-juta orang di seluruh dunia untuk mengetengahkan mengenai isu perubahan iklim pada 25 Mac depan.
Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan dalam sama-sama memberi sokongan kepada pergerakan Earth Hour 2017 berkenaan, yang mana bagi negara ini ia akan diadakan pukul 8:30 malam pada hari itu nanti.
Pengarah Eksekutif Earth Hour Global, Siddarth Das dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, “Kami memulakan Earth Hour pada 2007 untuk menunjukkan kepada pemimpin-pemimpin bahawa perubahan iklim adalah isu yang diberi perhatian oleh orang ramai.”
Apabila saat simbolik berkenaan bertukar menjadi pergerakan global kini, ia membuktikan mengenai peranan penting penduduk dalam isu-isu yang menjejaskan kehidupan mereka, tambah beliau. “Setiap petikan suis atau klik dalam talian merupakan peringatan bahawa orang melihat diri mereka sebagai bahagian penting dalam tindakan iklim dan keazaman kolektif sedemikianlah yang kita perlukan untuk menangani cabaran alam sekitar paling mendesak yang pernah dihadapi planet kita,” ujarnya lagi.
Pada tahun ini, WWF dan pasukan-pasukan Earth Hour di seluruh dunia akan menggunakan pergerakan berkenaan untuk mengetangahkan mengenai isu iklim paling relevan di negara atau rantau mereka.
Di Brunei Darussalam, Earth Hour akan menggunakan rangkaiannya untuk bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa kerajaan, institusi, komuniti-komuniti dan perniagaan untuk menangani isu cabaran iklim.
Menurut kenyataan itu, fokus tahun ini adalah lebih kepada tenaga boleh diperbaharui serta penggunaan mapan sumber-sumber semula jadi seperti hutan.
Pada 25 Mac itu nanti, apabila langit menjadi gelap, orang ramai juga dialu-alukan untuk bertindak bagi tindakan iklim di garis masa Facebook mereka menerusi platform Donate Your Feed. Para penyokong boleh berkongsi komitmen mereka kepada planet dengan menyumbangkan lima post Facebook di garisan masa mereka kepada Earth Hour di www.earthhour.org/climateaction.