EAS diseru pastikan vaksin mampu milik, mudah diperolehi

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Host Photos

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Vaksinasi merupakan kunci untuk mengatasi pandemik COVID-19 dan kerjasama negara-negara ahli Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) adalah perlu untuk memastikan vaksin mampu milik dan mudah diperolehi di rantau ini.

Ini mengambil kira sebahagian besar negara-negara EAS merupakan antara pengeluar vaksin COVID-19 terbaik dan secara keseluruhannya menyumbang kepada lebih 70 peratus pengeluaran vaksin global.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, selaku Pengerusi ASEAN 2021, bertitah menekankan perkara itu pada Sidang EAS ke-16 melalui persidangan video malam ini.

Baginda bertitah bahawa tindakan kolektif EAS boleh membawa kesan yang penting kepada seluruh dunia.

Pandemik COVID-19 telah membawa negara-negara untuk bekerjasama dengan lebih erat bersama institusi-institusi pelbagai hala seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), yang dapat mendokong usaha EAS dalam menangani kecemasan kesihatan awam yang sedang berlaku serta pemulihan ekonomi-ekonomi.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mempengerusikan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-16 secara maya dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman, kelmarin.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Sidang Kemuncak EAS ke-16.

Sehubungan itu, Baginda menggariskan bahawa vaksinasi adalah kunci utama manakala rakyat terkesan pandemik juga perlu diberikan tumpuan, terutamanya dari segi kesejahteraan mereka.

Ke arah itu, Baginda berharap ASEAN dapat mengambil iktibar daripada negara-negara ahli EAS bagi meningkatkan pemahaman yang lebih baik mengenai kesihatan mental dan menambah baik mutu perkhidmatannya di rantau ini, yang mana ia adalah mustahak untuk memastikan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan sentiasa dijaga.

Baginda juga melahirkan penghargaan terhadap sokongan Kenyataan Pemimpin EAS mengenai Kerjasama Kesihatan Mental. Pada mengakhiri titah, Baginda Sultan juga melahirkan rasa berpuas hati dengan Kenyataan-kenyataan EAS mengenai Pertumbuhan Ekonomi melalui Pemulihan Pelancongan dan Pemulihan Mampan yang akan melengkapkan visi bersama bagi menggalakkan tindak balas holistik dan menyeluruh terhadap pandemik berkenaan, di samping membolehkan kemajuan ekonomi yang pantas sambil memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif.

Semasa sidang kemuncak itu, ketua pengarah WHO dan ketua pengarah WTO turut menjelaskan mengenai tindakan-tindakan utama ke arah tindak balas dan pemulihan pandemik.

Di samping itu, setiausaha agung ASEAN juga melaporkan kemajuan kerjasama EAS, untuk mewujudkan mekanisme serantau dalam menangani isu-isu kesihatan global dan memfokuskan kepada membina kedayatahanan ekonomi yang lebih kukuh. Manakala, para pemimpin menekankan peranan penting EAS dengan memanfaatkan sinergi bagi mengurus cabaran yang sama dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Timur.

Melangkah ke hadapan daripada pandemik COVID-19, para pemimpin EAS mengetengahkan kepentingan dalam menggalakkan keterangkuman dalam pertumbuhan ekonomi dan pemulihan rantau ini dengan mengukuhkan kerjasama dalam kesihatan awam, kesihatan mental, keselamatan siber, ekonomi terangkum, perubahan iklim dan pelancongan.

Di akhir sidang, East Asia Summit Leaders’ Statement on Mental Health Cooperation, East Asia Leaders’ Statement on Economic Growth Through Tourism Recovery serta East Asia Leaders’ Statement on Sustainable Recovery telah diluluskan.