EAS: Kukuh kerjasama hadapi cabaran COVID-19

HANOI, 10 SEPT – Ketika wabak COVID-19 masih melanda, negara-negara Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) mesti memperkukuhkan kerjasama dan meningkatkan kemampuan bertindak serta meminimumkan kesan negatif wabak itu di samping menggalakkan pemulihan serantau yang mampan.

Perkara itu disepakati menteri-menteri luar EAS pada Mesyuarat Menteri-menteri Luar EAS ke-10 yang diadakan kelmarin.

Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), sambil memperakui kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan Manila 2018-2022, anggota mesyuarat juga bersepakat untuk terus meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang utama termasuk sektor tenaga, pendidikan, kewangan, kesihatan, pengurusan bencana, ekonomi, perdagangan, keselamatan makanan dan kerjasama marin.

Mesyuarat itu, yang dihoskan Vietnam dan diadakan secara maya dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Vietnam merangkap Menteri Luar, Pham Binh Minh.

Peserta mesyuarat turut menyambut baik cadangan Vietnam untuk mengadakan persidangan pakar mengenai COVID-19 antara sektor EAS, bagi memperkuat usaha tindak balas dan pemulihan di rantau ini, dijadualkan pada Oktober 2020.

Pada mesyuarat itu juga, peserta bertukar-tukar pandangan mengenai situasi di Semenanjung Korea, Laut Timur, Rakhine, Myanmar dan Hong Kong.

Di samping itu, mesyuarat menggesa ASEAN dan China melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak di Laut China Selatan (DOC). – Bernama