EASO bincang trend teknologi pertahanan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah (IPPSSHHB), Kementerian Pertahanan, hari ini, telah mengadakan Seminar East Asia Security Outlook (EASO) ke-12 sebagai landasan bagi perbincangan antara pegawai-pegawai mengenai isu-isu berkaitan dengan pertahanan, strategik dan keselamatan serantau.

Hadir selaku tetamu kehormat pada seminar yang berlangsung di Dewan Auditorium, Akademi Pertahanan, Tanah Jambu itu ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Ahli-ahli panel seminar terdiri daripada penceramah-penceramah dari Daniel K Inouye Asia Pacific Center for Security Studies (Amerika Syarikat), De La Salle University (Filipina), Bina Nusantara University (Indonesia), EPI-PEOPLE Consultants (Brunei), Malaysian Communications and Multimedia Commission (Malaysia), Institute of Strategic and International Studies (Malaysia) dan Australian Strategic Policy Institute (Australia).

Pemangku Pengarah IPPSSHHB, Ampuan Yura Kasumawati binti DP Haji Adnan dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa seminar tahun ini membincangkan mengenai trend strategik di rantau Asia Timur dan implikasi persekitaran rantau ini kepada ASEAN amnya dan Brunei Darussalam khususnya.

Berdasarkan perubahan persekitaran berkenaan, seminar itu juga turut membincangkan implikasi teknologi-teknologi baharu terhadap pertahanan dan keselamatan.

“Sebagai penganjur acara, kita berharap untuk adanya pertukaran interaktif, diteruskan dengan membentuk pemikiran dalam menangani pelbagai cabaran di hadapan kita, terutamanya memandangkan kita akan menjadi pengerusi ASEAN pada tahun 2021 dan berharap untuk mencapai Wawasan Brunei 2035,” jelas Ampuan Yura Kasumawati.

Seminar juga dihadiri oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Awang Muhammad Shahrul Nizzam bin Umar, pemerintah-pemerintah angkatan tentera dan pemangku pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pemangku timbalan setiausaha tetap, serta pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Turut dijemput ke seminar tersebut ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Perdana Menteri, Pasukan Polis Diraja Brunei, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan agensi-agensi kerajaan lain serta institusi-institusi pengajian tinggi.

Seminar EASO ini diakhiri dengan penyampaian tanda penghargaan kepada ahli-ahli panel penceramah yang disempurnakan oleh Awang Muhammad Shahrul.

Salah seorang ahli panel, Dr Alfred Oehlers semasa menyampaikan ceramah.
Pemerintah ABDB hadir selaku tetamu kehormat majlis.