East Squad juara perlawanan badminton

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA,11 Okt – Pasukan East Squad muncul juara dalam perlawanan persahabatan badminton selepas berjaya menewaskan Pasukan Shuttle Whackers yang berada di tempat kedua pada perlawanan yang berlangsung di dewan Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC), Panaga, malam tadi.

Sementara itu, tempat ketiga dan keempat, masing-masing disandang oleh Pasukan AEP dan Pasukan LSM.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah berupa Trofi Cabaran MD pada perlawanan akhir itu ialah Pengarah Teknikal juga selaku Timbalan Pengarah Urusan Brunei Shell Petroleum (BSP), Yap Kong Kah. Perlawanan yang dihoskan oleh BSRC itu antara lain bertujuan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan bagi meningkatkan semangat berpasukan serta mutu permainan setiap pasukan berkenaan. Sebanyak sembilan buah pasukan antaranya dari Syarikat BSJV dan syarikat-syarikat kontraktor lainnya telah menyertai perlawanan tersebut.

Pasukan East Squad bergambar ramai selepas berjaya menjuarai perlawanan persahabatan badminton anjuran Kelab BSRC.