Easy Collect, Go Rush mudahkan pemerolehan ubat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Beberapa perkhidmatan telah disediakan untuk orang ramai mendapatkan pengisian ubat masing-masing dan antara perkhidmatan yang boleh digunakan termasuk perkhidmatan Easy Collect (Senang Ambil) dan Go Rush.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara ini pada sidang media di Dewan Al-Afiah hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan, Go Rush dan Easy Collect telah beroperasi dalam dua tahun dan merupakan salah satu kaedah terbaik perkhidmatan mereka untuk mendapatkan bekalan ubat.

Pada masa ini, beliau menambah bahawa Go Rush telah meningkatkan perkhidmatan mereka di mana pelanggan tidak perlu pergi ke kaunter untuk mendaftar, mereka dapat melakukannya secara dalam talian dengan melayari laman webnya atau meng-hubungi talian hotline di 8752065.

“Menggunakan perkhidmatan ini sangat digalakkan kerana pesakit tidak perlu pergi ke
hospital atau klinik untuk mendapatkan ubat mereka,” jelasnya.

Beliau seterusnya mengongsikan dalam masa yang sama Go Rush juga memiliki prosedur di mana keselamatan pesakit dilindungi sesuai dengan standard antarabangsa.

“Sementara itu bagi mereka yang ingin menambah bekalan ubat mereka dan pada masa yang sama mereka mempunyai janji temu dengan doktor atau pakar lain, mereka boleh menghubungi klinik tempat perjanjian mereka ditetapkan.

“Mereka hanya perlu memberitahu jururawat yang bertugas bahawa mereka ingin meneruskan ubat mereka dan jururawat kemudian akan memaklumkan kepada doktor untuk tujuan tersebut,” jelas beliau.