Ebola berjaya ditewaskan – Profesor

KINSHASA, 17 SEPT – Ebola telah ditewaskan. Vaksin dan rawatan perubatan berjaya mengawal penyakit yang mematikan dan menakutkan itu, kata Jean-Jacques Muyembe, profesor Congo yang pertama kali menemui virus itu lebih 40 tahun lalu.

Ahli virologi berusia 79 tahun itu berucap dalam satu upacara di ibu negara Republik Demokratik Congo (DRC), Kinshasa, menandakan kehadiran rawatan ‘Ebanga’ yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) Disember lalu di pasaran.

Bersama dengan rawatan klinikal yang lebih berkesan, ketersediaan vaksin bermaksud demam perdarahan, yang dulunya selalu membawa maut, kini dapat dibendung.

“Selama 40 tahun saya menjadi saksi dan peserta dalam memerangi penyakit yang menakutkan ini dan saya dapat menyatakan hari ini: ia dikalahkan, ia dapat dicegah dan dapat disembuhkan,” kata Muyembe. – AFP