Ebrahim Raisi dipilih presiden baharu Iran

TEHRAN, 20 JUN – Ulama ultra-konservatif Iran, Ebrahim Raisi hari ini disahkan memenangi pilihan raya presiden Iran selepas memperoleh 62 peratus undi.

Presiden Iran, Hassan Rouhani, semalam berkata penggantinya dipilih melalui proses yang terbuka, namun ramai yang sudah menjangkakan kemenangan Raisi, malah tiga lagi calon sudah mengakui kekalahan mereka.

Dua orang calon konservatif lain, iaitu Mohsen Rezai dan Amirhossein Ghazizadeh Hashemi selain satu-satunya calon reformis iaitu bekas gabenor bank pusat, Abdolnasser Hemmati, turut mengucapkan tahniah kepada Raisi.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pengundi yang membuat pilihan,” kata panyandang jawatan Presiden, Hassan Rouhani, yang menamatkan dua penggal, masing-masing selama empat tahun, Ogos ini.

Raisi, 60, mengambil alih pada waktu kritikal iaitu ketika Iran cuba merundingkan semula perjanjian nuklear dengan kuasa besar dunia, sekali gus menamatkan pelbagai sekatan terhadapnya yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).

Ketua badan kehakiman Iran itu juga dilihat amat rapat dengan pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, 81, yang dilihat sebagai kuasa politik terunggul di Iran. – AFP

Seorang wanita memegang poster presiden baru dipilih Ebrahim Raisi ketika penyokong meraikan kemenangannya di dataran Imam Hussein di ibu negara Tehran pada 19 Jun 2021. – AFP