ECB bakal lancar mata wang digital

FRANKFURT, JERMAN, 4 OKT – Dengan pengguna semakin kurang menggunakan wang tunai untuk membeli barang, Bank Pusat Eropah (ECB) pada Jumaat mengambil langkah untuk mengeluarkan versi mata wang euro digital yang dikongsi oleh 19 negara, berkata ia perlu bersedia untuk melancarkan wang digital sekiranya dunia memerlukannya.

Bank pusat mengeluarkan laporan komprehensif menggaris kasar sebab-sebab ia perlu mengambil langkah tersebut. ECB juga berkata ia akan mengadakan rundingan awam mengenai idea itu bersama rakyat, ahli akademik dan pengurus bank.

Ia berkata tidak ada keputusan yang telah diambil, dan mana-mana euro digital akan melengkapi wang tunai, bukan menggantinya. Rundingan akan bermula pada 12 Oktober.

“Mata wang euro milik Eropah dan misi kami adalah menjadi penjaganya,” kata Christine Lagarde, Presiden ECB. “Warga Eropah semakin beralih kepada digital dalam cara mereka berbelanja, menabung dan melabur. Peranan kami adalah menjamin kepercayaan dalam wang. Ini bermakna memastikan euro adalah sesuai untuk era digital. Kami harus bersedia untuk mengeluarkan euro digital, sekiranya keperluan timbul.”

Euro digital adalah berbeza daripada sistem bayaran tanpa tunai sekarang yang dikendalikan oleh sektor swasta disebabkan ia akan menjadi wang bank pusat rasmi – boleh dipercayai, bebas risiko dan kurang mahal digunakan. Mata wang digital bank pusat juga boleh digunakan di luar talian, misalnya, untuk memindah sejumlah kecil wang di antara individu yang menggunakan dompet digital dalam telefon pintar mereka dan sambungan Bluetooth.

Penggunaan wang tunai semakin berkurangan di sesetengah negara, dipimpin oleh Sweden, di mana kebanyakan cawangan bank tidak lagi mengendali wang tunai dan kedai, restoran dan muzium hanya menerima kad atau bayaran mudah alih.

ECB tidak sendirian dalam mengkaji isu tersebut, Bank Pusat China telah pun menguji mata wang digital, sementara bank pusat di Sweden berkata ia telah melancarkan satu projek perintis. – AP

Seorang wanita berjalan di atas jambatan berhampiran Bank Pusat Eropah (kiri) di Frankfurt, Jerman pada 30 September. – AP