AMAZON telah mengembangkan barisan pembesar suara pintar Echo keluarannya dengan model pertama yang dilengkapi skrin sesentuh dan keupayaan panggilan video, dinamakan Echo Show.
Skrin 7 inci pada Echo Show membolehkan pembesar suara berkenaan menambah tindak balas suara dengan visual dan paparan maklumat lain, serupa dengan ciri-ciri seperti Echo pada tablet-tablet Fire dan peranti-peranti Fire TV.
Ini bermakna ramalan cuaca lanjut, bukan sahaja keadaan semasa, atau memaparkan lirik muzik bersama lagu yang didengar. Pengguna juga boleh menyaksikan tutorial memasak dari YouTube semasa memasak di dapur.
Pengguna juga dapat membuat panggilan video dengan peranti-peranti Echo Show lain atau aplikasi Alexa bagi iPhone dan telefon Android.
Dua model sebelumnya, Echo asal dan Echo Dot yang lebih kecil, hanya mendapat panggilan audio sahaja, kerana ketiadaan skrin dan kamera.
Amazon Echo Show akan mula memasuki pasaran pada 28 Jun depan pada harga AS$230.
Pasaran bagi pembesar suara dengan bantuan suara adalah kecil, tetapi semakin berkembang.
Syarikat penyelidikan eMarketer menjangka penggunaan pembesar-pembesar suara sedemikian akan meningkat dua kali ganda tahun ini, dengan hampir 36 juta rakyat Amerika menggunakan peranti berkenaan sekurang-kurangnya sekali sebulan menjelang penghujung tahun.
Amazon Echo dijangka meneruskan dominasinya, dengan hampir 71 peratus, walaubagaipun eMarketer menjangka pembesar suara Google Home akan menyainginya.
Beberapa minggu lalu, Google Home mendapat keupayaan untuk mengenal individu dalam keluarga melalui suara, membolehkan cadangan-cadangan lebih tepat dan sasaran iklan.
Setakat ini, Amazon tidak mempunyai ciri-ciri pengecaman suara yang sebanding. Bagaimanapun, Google Home tidak mempunyai skrin atau panggilan video.
Semua peranti Echo boleh memberi respons kepada arahan suara bagi cuaca, berita-berita, muzik dan tugas-tugas lain.