ECRL: Tingkat penyertaan kontraktor tempatan jika diteruskan

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Kerajaan yang kini dalam proses rundingan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) digesa memperhebatkan penyertaan kontraktor tempatan sekiranya projek itu diteruskan, kata Naib Presiden MCA Senator Datuk Seri Ti Lian Ker (gambar bawah).

“ECRL adalah projek untuk rakyat Malaysia. Memandangkan projek itu kini dalam proses diteliti semula, kita perlu mengambil kesempatan untuk meningkatkan penyertaan penggiat serta unsur tempatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan untuk membincangkan semula projek ECRL.

Pada akhir bulan lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada sebarang keputusan membabitkan ECRL dimuktamadkan setakat ini. Menurut beliau, “Pada masa ini, tiada sebarang keputusan dibuat dan kita perlu mencari penyelesaian yang baik.”

Mengulas selanjutnya, Ti turut menyifatkan rundingan semula itu sebagai kesempatan terbaik untuk melihat bagaimana Malaysia dapat memanfaatkan kontrak itu selain aspek penjimatan kos, khususnya dengan mengambil kira kewujudan syarikat rel tempatan yang dapat melaksanakannya pada kos lebih kecil.

“Menerusi cara ini, Malaysia dapat berjimat dari segi aliran mata wang asing, mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan di peringkat tempatan. Kesannya amat besar,” katanya.

Ti berkata, negara ini juga memiliki banyak kontraktor rel yang berwibawa dengan rekod prestasi baik dari segi pembabitan dalam projek-projek rel tempatan.

“Kita harus memasukkan unsur tempatan dan memberi anak tempatan peluang menyertai ECRL 2.0 berkenaan. Ramai di antara mereka telah menyertai projek yang sama sukarnya seperti ECRL.

“Ini penting dalam usaha membolehkan kontraktor tempatan mendapat pendedahan mengenai perniagaan rel selain memastikan Malaysia memiliki syarikat rel tempatan yang mapan,” katanya.

Perkhidmatan rel Malaysia turut dikenal pasti sebagai penggerak utama awam dalam usaha merancakkan lagi pengangkutan awam dan industri itu bukanlah asing kepada kontraktor tempatan, katanya.

Beliau berkata, sejak akhir abad ke-20, kontraktor Malaysia telah menyertai projek pembinaan rel, termasuk Ekspres KLIA dan Transit KLIA yang beroperasi pada 2002. – Bernama