Ecuador isytihar perintah darurat

QUITO, 19 OKT – Presiden Ecuador, Guillermo Lasso semalam mengisytiharkan perintah darurat di negara yang menyaksikan peningkatan keganasan berkaitan dadah dan mengerahkan polis dan tentera di jalanan.

‘’Berkuat kuasa serta merta, pasukan tentera dan polis akan dikerah di jalanan disebabkan kita telah diisytiharkan di bawah perintah darurat di seluruh negara,” kata presiden dalam ucapan yang disiarkan melalui siaran EcuadorTV.

“Di jalanan hanya ada satu musuh iaitu pengedar dadah,” umum presiden tersebut, dan menambah “beberapa tahun kebelakangan di Ecuador telah bertukar dari negara pengedar dadah kepada salah sebuah negara yang menghisap dadah.’’

Pengumuman dibuat pada malam sebelum lawatan rasmi Setiausaha Amerika Syarikat, Antony Blinken ke Ecuador dan Colombia dalam usaha untuk menyokong dan meluaskan hubungan dengan negara-negara Amerika Latin.

Blinken akan mengadakan rundingan bersama Lasso mengenai kerjasama dalam hal keselamatan, pertahanan dan perdagangan.

Keganasan meningkat secara dramatik di Ecuador dalam beberapa bulan kebelakangan. Antara bulan Januari dan Oktober tahun ini, negara tersebut mencatatkan hampir 1,900 pembunuhan, berbanding kira-kira 1,400 sepanjang tahun 2000 menurut kenyataan kerajaan.

Perintah darurat dilaksanakan selama 60 hari bagi membolehkan pihak kerajaan untuk mengerakkan kira-kira 3,600 orang tentera dan polis untuk mengawal 65 buah penjara di seluruh negara. Lasso berkata polis akan mengawal jalan-jalan di negara tersebut.

Lasso menjelaskan lebih 70 peratus kematian akibat keganasan berlaku di wilayah Guayas adalah berkaitan dengan pengedaran dadah.

“Ketika pengedaran dadah semakin berkembang, kadar pembunuhan turut meningkat,” sebagai tambahan bagi jenayah lain seperti rompakan, menurut presiden. – AFP

Presiden Ecuador semasa mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara bagi membanteras pengedaran dadah di negara itu. – AFP