Ed Sheeran sumbang 170,000 pound kepada sekolah lamanya

Penyanyi terkenal antarabangsa Ed Sheeran dilaporkan menyumbang 170,000 pound kepada sekolah menengah lamanya.

Sheeran, 29, yang pernah belajar di Thomas Mills High School di Suffolk, United Kingdom, dikatakan telah membantu sekolah tersebut untuk mencari bakal bintang global yang boleh mengikut jejaknya.

Sejak dua tahun lepas, badan amal milik Sheeran, Ed Sheeran Suffolk Music Foundation, telah menyediakan kamera, komputer riba Apple MacBook serta bilik gelap fotografi untuk jabatan seni dan teknologi maklumat sekolah itu.

Sekolah tersebut juga merupakan tempat di mana penyanyi itu menulis muzik dan bertemu isterinya, Cherry Seaborn.

Ed Sheeran Suffolk Music Foundation turut menyumbang 20,000 pound kepada sekolah rendah dan badan amal Aldeburgh Hospital League of Friends untuk projek taman deria menggunakan instrumen.

Pemuzik itu secara rasmi dinamakan sebagai pemuzik terkaya di United Kingdom di bawah usia 30 tahun pada awal Mei. – Agensi

Penyanyi itu telah menyumbang kepada pelajar sekolah tersebut selama dua tahun. – Agensi