Ed Sheeran tunggu keputusan hak cipta lagu

Penyanyi popular, Ed Sheeran sedang menunggu keputusan mahkamah atas perbicaraan hak cipta lagu hit beliau, Shape of You dalam tempoh masa terdekat.

Perbicaraan yang berlangsung di London, Britain itu memperlihatkan hakim meminta agar diberikan waktu sebelum benar-benar membuat keputusan.

Bintang pop kelahiran Britain itu bersama penulis lagu tersebut, John McDaid dari Snow Patrol dan penerbit, Steven McCutcheon, bagaimanapun menafikan tuduhan telah meniru sebahagian daripada lagu Oh Why.

Lagu Oh Why yang dinyanyikan oleh Sami Chokri pada 2015 dikatakan memiliki sedikit persamaan pada bahagian korus Shape of You yang diterbitkan pada tahun 2017.

Memetik laporan Huffpost, peguam mewakili Sami Chokri, Andrew Sutcliffe berkata, terdapat persamaan yang tidak dapat dipertikaikan di antara kedua-dua karya itu.

“Adakah Sheeran secara sedar atau tidak bahawa Oh Why sudah ada dan bermain-main dalam kepalanya? Sheeran yang menghadiri perbicaraan juga kelihatan seakan tidak jujur dan mengelak ketika diminta untuk memberi keterangan dalam perbicaraan,” jelas Sutcliffe.

Sheeran bersama penulis lagu Shape of You turut dikatakan telah mendedahkan segala bukti kepada mahkamah termasuk mengakui tidak ingin atau pernah mendengar lagu Oh Why sebelum ini.

Sementara itu, Hakim Antony Zacaroli berkata, beliau akan berusaha menyelesaikan pertikaian itu sebaik mungkin. Lagu Shape of You telah mencatat kejayaan jualan terbaik pada 2017 termasuk pasaran antarabangsa. Album Divide yang turut memuatkan lagu tersebut telah diterbitkan pada 2018 dianggarkan terjual sekitar 14.9 unit. – Agensi

Ed Sheeran sedang menunggu keputusan mahkamah atas perbicaraan hak cipta lagu hit beliau, Shape of You dalam tempoh masa terdekat. – Agensi