eDagang dijangka bantu ekonomi negara

KUALA LUMPUR, 9 DIS – Sektor eDagang dijangka akan meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi pada tahun ini daripada RM115.5 bilion atau lapan peratus pada tahun lepas, berikutan momentum serta penyertaan yang lebih baik daripada perniagaan tempatan.

“Kami yakin angka ini akan terus berkembang berdasarkan kepada peningkatan angka perniagaan yang menggunakan platform digital untuk memacu pertumbuhan perniagaan mereka,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Ahmad, sempena dengan Hari eDagang 2019 hari ini.  Acara dua hari bertemakan ‘Dari Tempatan kepada Juara Global!’ mempunyai matlamat untuk menggalakkan dan memberi inspirasi kepada pemilik perniagaan dalam menggunakan eDagang dan perdagangan merentasi sempadan.

Suriani juga berkata ekonomi digital negara yang bernilai RM267.7 bilion pada 2018 (18.5 peratus sumbangan kepada ekonomi), mempunyai potensi dalam mengukuhkan Malaysia sebagai Pusat Digital ASEAN. – Bernama