BELAIT, 15 MAC – Biro Kawalan Narkotik (BKN), Bahagian Kuala Belait, baru-baru ini telah berjaya mematahkan kegiatan aktiviti pengedaran dadah dengan penangkapan tiga orang lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 27 dan 40 tahun di sebuah kediaman di Jalan Kelumbi, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lumut.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan BKN, serbuan pada 11 Mac itu menemui beberapa paket plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu, dadah Kelas A, melebihi 61 gram yang dianggarkan bernilai melebihi $12,000.
Selain daripada dadah syabu, turut dijumpai adalah beberapa biji pil dipercayai dadah jenis Erimin 5. Antara barang lain yang dirampas ialah satu timbangan digital dipercayai untuk kegunaan aktiviti penjualan dadah.
Tangkapan tersebut masih di dalam siasatan di bawah kesalahan seperti Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar, Seksyen 6 (b) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal dan Seksyen 7 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki alat perkakas yang digunakan untuk memakan dadah terkawal.
