‘Edge Chromium’ aplikasi terbaharu Microsoft

Microsof melancarkan aplikasi terbaharu keluarannya dan dipercayai akan menggantikan aplikasi sebelum ini Microsoft Edge apabila perisian berkenaan sudah sempurna sepenuhnya.

Edge Chromium baharu ini sudah boleh dimuat turun menerusi dua sistem operasi utama iaitu Windows dan MacOS.

Microsoft menyatakan bahawa aplikasi berkenaan sudah stabil dan pengguna boleh memuat turun aplikasi itu dengan membuat carian ‘Edge Chromium’.

Pada tahun lalu, syarikat berkenaan menggunakan aplikasi tersebut dalam segmen perniagaan namun kini, ia boleh diakses oleh sesiapa saja yang mahukan pengalaman aplikasi baharu.

Beberapa bulan akan datang, Microsoft berhasrat untuk memulakan kemas kini bagi Windows 10 sekali gus memasukkan Edge Chromium dalam sistem komputer pengguna secara automatik.

Syarikat berkenaan menjangkakan bahawa semua naik taraf dilaksanakan sepenuhnya pada pertengahan tahun ini.

Walaupun aplikasi itu sudah dilancarkan, namun ia masih tidak dilengkapi dengan beberapa ciri khusus dan Microsoft berjanji bahawa semua ciri berkenaan akan dapat dinikmati oleh pengguna beberapa bulan lagi.

Aplikasi berkenaan sangat mirip dengan Google Chrome dan turut menyokong sambungan Chrome dan ia tidak memberi masalah kepada pengguna untuk membiasakan diri dengan aplikasi berkenaan. – Agensi

Aplisi Edge Chromium terbaharu ciptaan Microsoft. – Agensi