Edisi 60 tahun Mini dilancarkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – MINI Brunei hari ini mengumumkan bahawa Edisi 60 Tahun MINI boleh didapati di negara ini iaitu model reka bentuk ekslusif yang menekankan asal usul kereta legenda dan juga karakter ketangkasan kenderaan MINI yang dikenali dunia.

Pengumuman tersebut dibuat di High Frequency Lifestyle Cafe, di mana MINI Brunei juga mempamerkan Koleksi Gaya Hidup 60 Tahun MINI termasuk barangan yang terdiri daripada pakaian dan aksesori hingga ke produk kanak-kanak.

Hadir pada majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi British ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay.

Juga hadir selaku tetamu khas ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah.

Walaupun selepas 60 tahun, MINI terus dikenali dengan membawakan populariti di seluruh dunia dengan ciri-cirinya yang unik seperti perasaan ‘go-kart’ dan penggunaan ruang yang kreatif.

YAM Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah turut hadir menyaksikan pelancaran Edisi 60 Tahun MINI.
Edisi 60 Tahun MINI yang dilancarkan kelmarin.

Menurut Ketua MINI Asia, Kidd Yam dalam kenyataan akhbar, “Enam dekad selepas pelancaran kereta kompak British yang menulis semua peraturan motor, kami sangat teruja memulakan Sambutan 60 Tahun MINI di Brunei dengan pelancaran reka bentuk model ekslusif ini.”

Edisi 60 Tahun MINI dapat dikenalpasti dengan warna klasik kereta lumba British, khususnya cat terbaharu British Racing Green yang menawarkan ungkapan jelas karakter dan asal usul kereta kecil premium. Selain itu, warna lain yang boleh didapati termasuklah Melting Silver Midnight Black dan MINI Yours Lapisluxury Blue.

Warna badan yang dipilih digabungkan dengan warna putih atau hitam bagi bumbungnya dan luaran badan cermin sisi.

Selain itu, juga ditekankan ialah lampu depan LED, lampu kabus LED, penunjuk isyarat berwarna putih, lampu belakang LED dalam reka bentuk Union Jack.

Logo istimewa 60 tahun juga dapat dilihat pada jalur bonet sebelah kiri dan sekat penunjuk isyarat. Selain itu, rim aloi eksklusif 17 inci dalam warna Dark Spectre Grey dengan reka bentuk Burnished Spokes turut dipasang bagi memberikan penampilan yang berbeza.

Edisi khas tersebut boleh didapati bagi MINI Cooper Tiga Pintu, MINI Cooper S Tiga Pintu, MINI Cooper Lima Pintu dan MINI Cooper S Lima Pintu.

Sempena pelancaran edisi khas MINI, cabutan bertuah bagi memenangi perjalanan ke United Kingdom untuk melawat MINI Plant Oxford turut diadakan, petang tadi.