Friday, December 6, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Edisi kedua Borneo Highland Glamping Festival 13-15 disember ini

    KUCHING, 28 NOV – Edisi kedua The Borneo Highland Glamping Festival dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 15 Dis ini, membabitkan peserta dari Indonesia, Singapura, China, Brunei, dan Thailand.

    Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata festival kali ini menampilkan 250 khemah berbanding 109 khemah tahun lepas, satu perkembangan positif yang menunjukkan minat dalam kalangan peserta tempatan dan asing yang semakin meningkat.

    “Festival Glamping Borneo Highland telah menjadi tarikan eko-pelancongan utama, menggabungkan alam semula jadi, budaya, pengembaraan dan inovasi. Ia mencerminkan visi bersama untuk membangunkan produk pelancongan mampan baharu yang meletakkan Sarawak sebagai destinasi eko-pelancongan ternama,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

    Glamping merupakan singkatan bagi perkataan ‘glamorous camping’ yakni konsep penginapan yang menggabungkan kemudahan mewah seperti yang terdapat dalam hotel dengan pengalaman berkhemah dalam persekitaran alam semula jadi.

    Abdul Karim berkata festival tiga hari itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti bengkel makanan dan kraf tradisional, yoga dan meditasi, memanah, berkayak, Zumba, jualan pelbagai makanan, ekspo luar, konsert mini dan pertunjukan api. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda