ANTWERP, Belgium, 22 Okt – Pemain nombor satu Britain, Kyle Edmund mempamerkan kebangkitan sebelum menewaskan Gael Monfils pada set akhir tie-break sekali gus menjulang trofi pertama Jelajah ATP di Terbuka Eropah, awal pagi tadi.
Kemenangan 3-6, 7-6 (7/2), 7-6 (7/4) menamatkan kemarau kejuaraannya musim ini dengan pemain berusia 23 tahun itu memberikan harapan untuk layak ke Final ATP Jelajah Dunia di London bulan depan.
Edmund melakar sejarah selepas muncul sebagai pemain lelaki Britain pertama selain Andy Murray yang menjuarai acara perseorangan selepas Greg Rusedski mencipta kejayaan di Newport pada Julai 2005.
“Jelas sekali saya sangat gembira (dengan kemenangan). Saya bekerja keras jadi sudah pasti ia sangat emosi,” kata pemain ranking ke-15 dunia itu.
“Anda akan selalu ingat perlawanan ini. Gael memaksa saya bekerja keras hari ini, itu sudah pasti jadi kredit untuk dia. Saya sangat gembira,” katanya.
Pilihan utama kejohanan, Edmund, mara ke separuh akhir Terbuka Australia pada awal tahun ini.
Ia adalah final Jelajah keduanya selepas tewas straight-set kepada Pablo Andujar di Maghribi pada April lalu. – AFP
