edotco, Intelsat jalin kerjasama

KUALA LUMPUR, 14 OGOS – Syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi bersepadu berpangkalan di Malaysia, edotco Group Sdn Bhd (edotco) menjalin kerjasama dengan syarikat tersenarai di New York, Intelsat S.A.

Kerjasama kedua-dua syarikat berkenaan adalah bagi meningkatkan keupayaan kesalinghubungan di serata kedudukan edotco di Asia Tenggara dan Asia Selatan menerusi penyelesaian industri berkaitan.

Dalam satu kenyataan hari ini, edotco berkata di bawah kerjasama itu, kedua-dua syarikat terbabit merancang untuk menggabungkan teras kepakaran masing-masing dalam aspek hala balik satelit dan terrestrial bagi menawarkan perkhidmatan lebih baik dan menyeluruh yang menjadi kaedah menyalurkan penyelesaian di kawasan pedalaman serta mengembangkan pemantauan dan pengawasan edotco di kawasan terpencil.

“Keperluan untuk mengurangkan lagi jurang kesaling-hubungan itu menjadi lebih getir sekarang ketika kita menuju kepada usaha pelaksanaan 5G, Internet rangkaian benda (IoT) dan bandar raya pintar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif edotco Suresh Sidhu.

Beliau berkata usaha menambah baik aspek kesaling-hubungan di kawasan pedalaman dan terpencil turut menjadi keutamaan pengendali rangkaian mudah alih (MNO).

“Kerjasama dengan Intelsat ini akan membolehkan kami memasukkan khidmat angkutan hala balik satelit dalam pakej penawaran sedia ada, membantu pengendali memperluaskan perkhidmatan ke kawasan sukar dan memberi satu generasi rangkaian perkhidmatan yang baharu kepada MNO,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Serantau Intelsat bagi Asia Pasifik, Terry Bleakley berkata jalinan kerjasama dengan penyedia menara (telekomunikasi) seperti edotco, akan membolehkan kedua-dua syarikat dapat memanfaatkan kepakaran untuk memperluas infrastruktur kepada lebih banyak pengguna dan selain perkhidmatan.

Sejajar dengan kedudukan kukuhnya di serata Asia Tenggara dan Asia Selatan, edotco telah memperkasakan MNO dengan kesalinghubungan lebih mantap berserta penyelesaian inovatif yang menepati keperluan telekomunikasi di serata rantau ini.

Intelsat SA mengendalikan rangkaian global pertama membabitkan perkhidmatan video yang cekap kos dan berkualiti serta khidmat jalur lebar di serata dunia. – Bernama