KUALA LUMPUR, 13 April – Edra Power Holdings Sdn Bhd mengambil langkah yang lebih menjurus kepada penyenaraiannya dengan menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) antara Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan anak syarikatnya, Edra Energy Sdn Bhd, serta pembangunan loji janakuasa gabungan kitaran turbin gas terbesar Malaysia di Alor Gajah, Melaka.
“Kami kini menunggu untuk menjalankan tawaran awam permulaan dan mengambil langkah perlu sebagai persediaan untuk penyenaraian,” kata Datuk Mark Ling, Presiden dan Pengarah Eksekutif Edra Power, kepada Bernama hari ini. Edra Energy Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Edra Power Holdings, menandatangani PPA dengan TNB, membabitkan pembangunan loji tenaga baharu di Alor Gajah.
Bagi pembangunan itu, Edra Energy akan membina, membiayai, memiliki, mengendali dan mengurus loji tenaga turbin gas kitaran bergabung (CCGT) 2,242 MW yang apabila siap, akan menjadi loji CCGT terbesar di Malaysia.
Pemeteraian PPA merupakan peristiwa penting bagi projek itu yang akan menyumbang dengan ketara ke arah keperluan tenaga negara, selain pembangunan Melaka, kata Ling. – Bernama