EET anjur kursus fardu kifayah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Kumpulan Elex Elex Tani @ EET Tahun 80-85 yang terdiri daripada bekas penuntut Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) dengan kerjasama Masjid Pehin Khatib Abdullah dan ahli takmir masjid telah menganjurkan Kursus Fardu Kifayah Menyempurnakan Jenazah bertempat di Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis, kelmarin.

Acara yang turut dihadiri oleh ahli-ahli kumpulan dan beberapa orang penuntut sekolah itu bertujuan untuk mengetahui dan menambah ilmu untuk kehidupan dunia dan bekalan di akhirat nanti.

Aktiviti tersebut diketuai oleh Pengiran Zainal bin Pengiran Salleh, Pengiran Mohd Jeffry bin Pengiran Haji Kula, Haji Abdullah bin Haji Ali, Dayangku Zaedah binti Pengiran Jamalludin dan Dayang Riha binti Moksin.

Kursus telah disampaikan oleh Imam Masjid Pehin Khatib Abdullah, Haji Burhanuddin bin Haji Awang Damit.

Semasa kursus tersebut, para peserta bukan sahaja diajar mengenai teori penyempurnaan jenazah malah juga secara praktikal.

“Kami ingin mengetahui dan belajar dalam urusan menyucikan jenazah hingga ke tahap menguburkan jenazah kerana ia sangat berguna sebagai persediaan,” jelas salah seorang peserta kursus.

Pada akhir kursus, penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Kampung Kulapis, Awang Mohamad Asyramisyanie bin kamis.

Kursus Fardu Kifayah Menyempurnakan Jenazah yang diadakan di Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis.