Eina, suami positif COVID-19

Pelakon Datin Paduka Eina Azman mengesahkan dirinya, suami, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet dan dua pembantu rumah, positif COVID-19.

Bagaimanapun, Eina bersyukur dua anak mereka, Arianna Aubrey dan Karl Kareef serta kakaknya, Wenny Azman tidak dijangkiti virus berkenaan.

“Macam nak gugur jantung apabila dapat keputusan… Ini kerana saya selalu buat ujian saringan COVID-19.

“Malah, minggu lalu saya dan suami buat ujian calitan sebelum pembedahan.

Ketika itu, keputusannya negatif.

Saya tak tahu macam mana dalam tempoh seminggu, saya boleh terkena (jangkitan).

“Sedih sangat apabila terpaksa tengok Aubrey dan Karl buat ujian calitan sampai menangis. Saya memang tidak sampai hati tengok.

Eina dan suami bersyukur dua anak mereka, Aubrey dan Karl tidak dijangkiti virus COVID-19. – Agensi

“Sementara tunggu keputusan, hati ini sangat risau. Saya fikir apa jadi kalau kena (berjangkit) kepada anak-anak atau pembantu saya. Macam mana hendak hadapi? Ya Allah… Tak tahu nak cakap macam mana,” katanya.

Bagaimanapun, Eina atau nama sebenar, Ainur Syakina Azman bersyukur Aubrey dan Karl serta kakaknya, Wenny, disahkan bebas daripada COVID-19.

Eina memberitahu, dia mengalami gejala demam dan batuk manakala suami demam panas dengan paras oksigen kurang baik. “Sekarang, saya sudah mula demam panas dan batuk. Keadaan suami kurang baik sebab demam terlalu panas dan tahap oksigen turun naik.

“Jadi, setiap dua hari, kami kena pergi hospital bagi menjalankan pemeriksaan dan melakukan sinar X,” katanya.

Lebih mengundang rasa sedih, Eina memberitahu, dia dan suami meraikan ulang tahun ketujuh perkahwinan, hari ini.

“Ya Allah, memang hilang kata-kata. Namun, saya percaya ini semua ketentuan Allah. Kami terima dengan hati yang terbuka,” katanya yang berkahwin pada 31 Ogos 2014.

Eina memohon orang ramai mendoakan agar dia dan keluarga segera sembuh. “Saya minta tolong semua doakan kami sekeluarga termasuk pembantu kembali sihat.

Kepada sesiapa yang menjadi kontak rapat kami, kalau tidak sihat, pergi buat ujian calitan.

“Sesiapa yang ada pengalaman (dijangkiti COVID-19), tolong kongsi petua yang boleh kami amalkan,” katanya. Pada 17 Ogos lalu, Eina menjalani pembedahan biopsi pada leher buat kali keempat.

Pembedahan biopsi adalah prosedur pengambilan sampel tisu atau sel untuk menentukan sesuatu penyakit. – Agensi