BERLIN, 27 APRIL – Eintracht Frankfurt menjangkakan ribuan penyokong Jerman akan kembali semula dengan harapan dapat mencetuskan satu lagi kemenangan di tempat lawan seperti kemenangan mengejut di Barcelona untuk aksi separuh akhir pertama Liga Europa di West Ham pada Khamis.
Sekitar 30,000 penyokong Eintracht berjaya mendapatkan tiket untuk perlawanan kedua suku akhir mereka di Camp Nou, yang membantu kelab Jerman tersebut mencatat kemenangan 3-2 di Barcelona untuk mengesahkan kemaraan secara agregat 4-3.
Penyokong Frankfurt yang akan datang telah diberikan 5,000 tiket untuk perlawanan di Stadium West Ham, London, yang mempunyai kapasiti 60,000 tempat duduk tetapi kelab Jerman itu menjangkakan puluhan ribu lagi akan menyertai mereka di sana.
“Saya benar-benar pasti akan ada lebih 5,000 di bandar ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Eintracht, Axel Hellmann kepada AFP.
“Penyokong kami suka mengembara dan menyokong pasukan mereka di luar negara, itulah sebabnya kami membawa 15,000 ke Inter Milan bagi aksi kelompok 16 terakhir pada 2019.
Frankfurt mara ke separuh akhir tahun itu sebelum tewas kepada Chelsea menerusi gol penalti.
“30,000 di Barcelona adalah kemuncak sejarah kelab kami berkunjung ke tempat lawan. Ia adalah sebahagian DNA kami,” tambahnya.
Penyerang Frankfurt dari Colombia, Rafael Borre menjelaskan kemenangan mengejut di Barcelona adalah kerana sokongan penyokong Frankfurt.
“Ramai fikir ia adalah suatu yang mustahil. Jadi apabila awda mencapainya, adalah normal untuk orang merasakan ia suatu yang menakjubkan,” kata Borre, yang menjaringkan gol di Barcelona pada aksi suku akhir. – AFP
