LONDON, 5 Mac – Ejen Gareth Bale mengecap layanan penyokong-penyokong Madrid terhadap pemain antarabangsa Wales itu ‘memalukan’ selepas dia diejek ketika kekalahan kepada Barcelona.
Bos Real, Santiago Solari kerap meletakkan Bale di bangku simpanan sejak beberapa minggu lalu dan hanya memberikan sokongan sederhana dalam menghadapi kritikan tajam dalam akhbar Sepanyol.
Bale diejek oleh penyokong tuan rumah pada Sabtu lalu apabila digantikan oleh Marco Asensio ketika Real mengalami kekalahan kedua kepada Barcelona dalam tempoh empat hari.
“Generasi penyokong Real ini akan bercakap mengenai jaringan–jaringan Gareth untuk beberapa tahun akan datang,” Jonathan Barnett memberitahu Sky Sports News. “Sejujurnya mereka seharusnya malu dengan diri sendiri.
“Gareth layak menerima penghormatan besar. Cara penyokong Real melayan Gareth tidak ubah seperti memalukan.
“Dalam tempoh enam tahun berada di Sepanyol, dia telah memenangi segalanya. Dia adalah salah seorang pemain terbaik dunia. Penyokong-penyokong tersebut seharusnya menghormatinya.”
Bale telah memenangi empat trofi Liga Juara-Juara dan menjaringkan 101 gol dalam 218 kemunculan sejak menyertai pasukan Real dari Tottenham bagi 85 juta pound (AS$112 juta) pada tahun 2013.
Tetapi dia gagal untuk mendapatkan peluangnya menjadi pemain utama di Bernabeu selepas pemergian Cristiano Ronaldo ke Juventus. – AFP


































