Ekonomi ASEAN+3 disaran bina sistem berdaya tahan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Ekonomi rantau ASEAN+3 disarankan untuk membina sistem berdaya tahan dan mengembangkan lagi kerjasama antara rantau untuk menjamin pertumbuhan pasca pandemik.

Tidak dapat dinafikan bahawa COVID-19 merupakan pengganggu utama kepada pertumbuhan tetapi ia juga merupakan pemangkin kepada perubahan dalam ASEAN+3.

Oleh itu, bagi menjamin pertumbuhan pasca pandemik, ekonomi rantau ASEAN+3 harus menekan penubuhan hubungan antara rantau ASEAN+3 yang kukuh serta sistem-sistem ekonomi yang berdaya tahan.

Perkara itu antara yang ditekankan oleh Ketua Pakar Ekonomi AMRO, Dr Hoe Ee Khor semasa webinar bertajuk ASEAN+3 Growth Strategy in the Pandemic’s Wake, yang berlangsung secara maya, hari ini.

Webinar yang dianjurkan oleh Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), turut mengetengahkan ahli panel termasuk Dr Hoe Ee Khor, Ketua Kumpulan dan Ketua Ahli Ekonomi bagi Pengawasan Serantau, Dr Ling Hui Tan, Mantan Menteri Kewangan Indonesia dan Pengasas Bersama Creco Consulting and Research, Dr Muhamad Chatib Basri serta Ketua Ahli Ekonomi bagi Asia Pasifik, Natixis, Dr Alicia Garcia Herrero di mana mereka bertukar-tukar pandangan mengenai strategi pertumbuhan ASEAN+3 di pasca pandemik di mana ia merupakan tema bagi laporan tahunan AMRO, ASEAN+3 Regional Economic Outlook, yang telah dilancarkan pada 12 April lalu.

Dr Hoe Ee Khor, Dr Ling Hui Tan, Dr Muhamad Chatib Basri dan Dr Alicia Garcia Herrero semasa mengongsi pandangan pada sesi webinar yang berlangsung secara maya, kelmarin.

Dalam webinar itu, Dr Khor berkata bahawa pandemik itu telah memberikan kesan yang besar kepada penduduk dan aktiviti ekonomi di rantau ASEAN+3.

Beliau menambah bahawa pandemik itu akan memberikan kesan yang tidak dapat dielakkan tetapi ia mengambil pelbagai jenis bentuk dalam ekonomi yang berbeza serta ia memberikan kesan yang lebih besar kepada sesetengah ekonomi berbanding dengan yang lain.

“Kebanyakan ekonomi yang akan menyaksikan kesan yang berbeza daripada segi produktiviti dan bekalan buruh, manakala, sesetengah ekonomi, akan menyaksikan kesan itu dimanifestasikan sebagai kunci kira-kira yang terjejas dan pelaburan yang lebih rendah,” ujarnya.

Pada masa yang sama, panel webinar itu menyatakan bahawa COVID-19 telah mentransformasikan landskap perkhidmatan dalam rantau ASEAN+3 di mana perkhidmatan bekalan digital seperti e-dagang, perbankan digital dan telekesihatan (telehealth) berkembang maju semasa pandemik berkenaan serta berpotensi besar sebagai pemacu pertumbuhan masa hadapan.

Dalam hubungan itu, ekonomi-ekonomi ASEAN+3 perlu memanfaatkan trend berkenaan dengan melabur dalam inovasi dan infrastruktur digital serta pada masa yang sama, mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan, menaikkan taraf tenaga kerja, menjana persaingan serta memulihkan dasar fiskal sihat. Di samping itu, panel juga menyatakan bahawa integrasi serantau yang lebih kukuh akan memainkan peranan yang penting kerana pandemik itu telah melumpuhkan rantaian bekalan global di mana ia telah menimbulkan keraguan mengenai strategi pertumbuhan eksport rantau berkenaan.

Dalam webinar itu, Dr Khor mengetengahkan bahawa Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang baru dilaksanakan, harus menyediakan rangsangan tambahan bagi rantaian bekalan ditempatkan di rantau ini.