Ekonomi Asia akan kekal bertahan – Zeti

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Ekonomi Asia, termasuk Malaysia, dijangka kekal kukuh dalam keadaan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kata bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Mengulas mengenai berita terbaharu peningkatan konflik perdagangan yang mana AS mengenakan satu lagi tarif baharu ke atas barang China bernilai AS$200 bilion, beliau berkata perang perdagangan global ini (antara AS dan China) tidak memberi manfaat kepada sesiapa sahaja.

“Namun saya yakin dengan kekukuhan ekonomi Asia dan kita akan menunjukkan ketahanan pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, di sini, hari ini.

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz semasa sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tun Daim Zainuddin kelmarin. – Bernama

Dalam pertelingkahan terbaharu berkenaan pengenaan tarif baharu oleh Washington itu, Beijing berikrar untuk bertindak balas.

Wakil Perdagangan AS mengeluarkan pusingan baharu cadangan tarif, menyenaraikan 200 muka surat barangan bernilai AS$200 bilion yang termasuk sarung tangan besbol, beg tangan dan kamera digital.

Langkah terbaharu itu diambil hanya dua hari selepas tarif ke atas barang dan perkhidmatan bernilai AS$34 bilion dikenakan AS ke atas China. – Bernama