Ekonomi Asia Tenggara diunjur catat pemulihan akhir 2021

KUALA LUMPUR, 23 DIS – Pelaksanaan sekatan pergerakan yang berlanjutan serta langkah-langkah penjarakan fizikal dijangka mengekang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global tahun ini, sekali gus menyukarkan pemulihan ekonomi menyamai tempoh sebelum pandemik COVID-19 dengan aktiviti perdagangan diunjur berlaku sebelum akhir 2021.

Di Asia Tenggara, pertumbuhan juga akan dihalang oleh langkah penjarakan sosial namun sekatan tersebut dijangka berkurangan pada tahun depan, khususnya di negara-negara yang mampu melaksanakan pemberian vaksin pada kadar lebih cepat, demikian menurut Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW) hari ini.

“Walaupun ketidaktentuan itu masih ada dan kebanyakan negara memerlukan masa untuk mengatasi kerugian di peringkat masing-masing, aspek risiko itu sebaliknya lebih seimbang susulan laporan positif mengenai vaksin manakala prospek pertumbuhan Asia Tenggara bagi jangka pertengahan hingga panjang juga adalah optimis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, laporan unjuran ekonomi terbaharu Oxford Economics yang disahkan oleh ICAEW, mengunjurkan bahawa KDNK di sekitar Asia Tenggara akan menguncup sebanyak 4.1 peratus pada 2020 sebelum meningkat semula secara ketara kepada 6.2 peratus pada 2021.

Badan perakaunan bertauliah itu berkata laporan unjuran ekonomi itu juga mendapati pemulihan ekonomi pada 2021 didorong oleh pelonggaran sekatan pergerakan, momentum pemulihan global dan kejayaan pelaksanaan program vaksin COVID-19.

Sehubungan itu, perkembangan mengenai usaha vaksinasi itu disifatkan sebagai pengukur penting untuk pertumbuhan pada 2021 dengan sektor perkhidmatan dijangka lebih ketara di negara-negara yang lebih ke hadapan dari segi perolehan dan pengagihan vaksin.

Menurutnya, ekonomi Malaysia mengalami pemulihan lekuk V pada awalnya namun lanjutan serta perluasan kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung peningkatan COVID-19, boleh memberi tekanan terhadap aktiviti ekonomi dalam jangka terdekat serta menjejaskan pemulihan.

“Bagaimanapun, kerajaan telah mengumumkan belanjawan pengembangan bagi 2021 dengan meningkatkan tumpuan terhadap pelaburan prasarana. Ini akan menyokong peningkatan semula pertumbuhan ekonomi yang kukuh kepada 6.2 peratus tahun depan selepas menguncup pada 5.6 peratus tahun ini.” – Bernama