Oleh Sim Y.H
Wawasan negara 2035 merupakan gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dimanifestasikan untuk memastikan Negara Brunei Darussalam yang telah mencapai usia kemerdekaannya ke-38 tahun pada 2022, menjadi sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya, mempunyai kehidupan yang berkualiti serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Pada tanggal 23 Februari 2022, negara akan meraikan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38. Sekali lagi tema, Menjayakan Wawasan Negara, terus diketengahkan di mana ia terus relevan kepada usaha memacu pembangunan negara ke arah mencapai wawasan negara 2035.
Dalam tempoh lebih tiga dekad mencapai kemerdekaan, Negara Brunei Darussalam bukan sahaja telah melalui perubahan landskap infrastruktur mengikut peredaran masa tetapi juga mencapai pembangunan fizikal, ekonomi dan teknologi yang selari dengan rakan-rakan serantau. Namun begitu, Brunei terus mengekalkan keunikan budaya dan pendiriannya sendiri dalam mencapai hasrat sebuah negara maju yang terus relevan di persada serantau dan antarabangsa menerusi transformasi ekonomi yang menjurus kepada usaha mempelbagaikan ekonomi dari hanya bergantung kepada industri minyak dan gas.
Ke arah mencapai wawasan negara 2035, segenap lapisan rakyat dan penduduk negara terus bersatu dan setia kepada raja dan negara, percaya kepada nilai-nilai murni yang diterapkan menerusi falsafah negara, Melayu Islam Beraja serta terus mengamalkan nilai-nilai mulia, tolong-menolong dan prihatin.
Wawasan 2035 memberikan penekanan kepada transformasi negara yang mempunyai rakyat dan penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi. Dalam hubungan itu, adalah amat penting bagi sistem pendidikan negara memberikan penekanan kepada pembangunan serta pembentukan sumber tenaga manusia supaya mampu bersaing dan berdaya tahan dengan perubahan kehidupan abad ke-21.
Dengan memberikan tumpuan kepada pembangunan sumber manusia yang berdaya tahan, ia mampu menyokong transformasi negara bukan sahaja dari segi ekonomi yang berdaya saing, dinamik, kompetitif dan mapan tetapi juga rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi bagi merealisasikan wawasan 2035.
Melangkah ke hadapan, Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Tahun Baharu Masihi 2022, “Menyebut lagi tentang wabak koronavirus, baru-baru ini dunia dikejutkan pula oleh kemunculan varian baharu (Omicron).
Menurut sumber mutakhir, Omicron setakat ini telah tersebar hampir ke seluruh dunia, yang menambahkan lagi kebimbangan global. Namun kita selaku umat yang beriman, tetap melihat perkara itu sebagai ketentuan Allah jua.
“Sebagai usaha menghadapi wabak, Brunei telah melaksanakan program vaksinasi kebangsaannya dengan lancar dan berjaya, sehingga mampu membawa negara ini memasuki fasa endemik. Dengan memasuki fasa ini, beberapa aktiviti yang dahulunya disekat sudah boleh dibuat, tetapi masih saja dikehendaki untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Beta juga ingin terus mengingatkan supaya kita semua jangan leka atau lupa apabila diberi kelonggaran, kerana sedikit sahaja lupa, boleh mengundang padah.
“Walaupun kita sama-sama bergelut dengan wabak pandemik, namun pada tahun 2021, negara Alhamdulillah, telah ditakdirkan berjaya mempengerusikan ASEAN.
Warga ASEAN dilihat gembira, kerana dapat meningkatkan usaha-usaha pembangunan Komuniti ASEAN. ASEAN juga sedang berusaha supaya warga belia dapat mewarisi rantau ini dengan pembangunan-pembangunan mampan, di mana untuk itu ASEAN telah pun menubuhkan ASEAN Junior Fellowship Programme.
“Berbalik mengenai pencapaian negara, Alhamdulillah negara kita telah dinobat mendapat kedudukan ke-21 daripada 214 buah negara dalam Government Effectiveness Index yang berpandukan kepada laporan Worldwide Governance Indicators 2021 keluaran Bank Dunia.
Sudah setentunya pencapaian ini memerlukan kerja keras yang lebih di kalangan semua pihak di negara ini.
“Dalam usaha memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, penyediaan sumber tenaga manusia yang marketable dan employable adalah sangat penting untuk diberi perhatian. Di sini, program-program pembelajaran sepanjang hayat adalah berkaitan.
“Mengenai pembelajaran ini, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama kementerian-kementerian yang berkenaan, telah pun membuat perancangan menyeluruh untuk meneruskan program persekolahan dalam fasa peralihan atau fasa endemik.
Beta berharap, ia akan dapat berjalan dengan baik sebagaimana yang dirancang.
“Secara umumnya, di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-11, agenda-agenda pembangunan adalah berjalan dengan baik. Di bawah rancangan ini, banyak projek telah dan sedang dalam pelaksanaan.
Namun agak dikesali apabila mengetahui, bahawa banyak bangunan kepunyaan kerajaan yang terbiar dan tidak digunakan lagi.
Mengapa? “Beta melihat, perkara ini perlu ditangani secara holistik oleh pihak berkepentingan, supaya aset-aset berkenaan dapat dimanfaatkan dan sekali gus untuk mengelak pembaziran.
Di samping itu, semua kementerian adalah digalakkan untuk melaksanakan kaedah shared facilities agar perbelanjaan dapat difokuskan kepada mencapai wawasan negara 2035.
“Kita juga sedang melaksanakan Sistem Kebajikan Negara (SKN). Dengan sistem ini, permohonan bantuan kebajikan dapat dipercepatkan serta bantuan pula dapat ditentukan hanya untuk mereka yang benar-benar berhak sahaja.”
Dapat disaksikan bahawa dalam usaha negara mempelbagaikan ekonomi dan memacu pembangunan ke arah pencapaian wawasan negara 2035, penularan pandemik COVID-19 telah memberikan kesan kepada usaha berkenaan. Gelombang kedua penularan COVID-19 pada 7 Ogos 2021 memberikan cabaran kepada negara di mana langkah-langkah kawalan telah diperketat semula.
Dengan langkah-langkah kawalan diperketat semula itu, tidak dapat dinafikan ia menjejas aktiviti ekonomi negara, selain menghadapi pelbagai cabaran termasuk tekanan psikologi dan emosi, kesihatan mental, bergelut dengan pembelajaran dalam talian, isu-isu pekerjaan, kebajikan, perniagaan serta berjauhan daripada ahli keluarga, tetapi hasil usaha kerajaan dan semua pihak yang berkenaan telah membantu menangani penularan wabak sehingga mencapai Fasa Awal Endemik.
Untuk mengatasi masalah itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah mengatakan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengumumkan Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19 pada 25 Oktober 2021, yang antara lainnya mempunyai matlamat bagi pelaksanaan sukat-sukat peralihan yang selamat dan situasi yang stabil dengan gangguan minimum kepada aktiviti harian masyarakat.
“Selain itu, rangka kerja ini juga dapat membantu pemulihan ekonomi dan perniagaan serta menjaga keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini yang terjejas akibat COVID-19,” kata Yang Berhormat Dato.
Manakala itu, Kementerian Kewangan dan Ekonomi juga mengumunkan bahawa Perjanjian Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2022 bagi Australia, Brunei Darussalam, Kemboja, Republik Rakyat China, Jepun, Laos, New Zealand, Singapura, Thailand dan Vietnam. Perjanjian RCEP itu juga akan berkuat kuasa pada 1 Februari 2022 bagi Republik Korea.
Penguatkuasaan Perjanjian RCEP dijangka akan membuka jalan untuk mewujudkan kawasan perdagangan bebas yang mana, berdasarkan data Bank Dunia, meliputi 2.3 bilion orang atau 30 peratus daripada penduduk dunia, serta menyumbang kepada AS$25.8 trilion atau kira-kira 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global serta AS$12.7 trilion atau lebih satu perempat daripada perdagangan global dalam barangan dan perkhidmatan serta 31 peratus daripada aliran masuk FDI global.
Angka-angka berkenaan menjadikan Perjanjian RCEP sebagai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar di dunia yang dijangka akan memudahkan rantaian nilai global dan perdagangan dalam rantau ini.
Ketika dunia terus bergelut dengan gangguan ekonomi yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19, penguatkuasaan Perjanjian RCEP menandakan keazaman rantau ini untuk memastikan pasaran tetap terbuka; meningkatkan integrasi ekonomi serantau; menyokong sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, bebas, adil, inklusif dan berasaskan peraturan serta menyumbang kepada usaha pemulihan pasca pandemik global.
Negara-negara anggota RCEP yakin dengan komitmen akses pasaran yang dibuat, selain peraturan dan disiplin yang diperkemas dan dimoden-kan bagi memudahkan perdagangan dan pelaburan, Perjanjian RCEP akan memberikan peluang baharu kepada peniaga-peniaga, mengukuhkan lagi rantaian bekalan di rantau ini dan menggalakkan penyertaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) ke dalam rantaian nilai serantau dan hab pengeluaran.
Tidak dapat dinafikan bahawa pandemik COVID-19 telah membawa pelbagai cabaran kepada negara tetapi ia juga membawa bersama peluang bagi negara untuk meneroka pelbagai peluang dan laluan bagi menuju ke arah perkembangan pasaran dan kemajuan ekonomi yang berdaya tahan.
Oleh itu, bagi menjayakan wawasan negara, ia memerlukan usaha segenap lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk sama-sama mendukung, menyokong dan memanfaatkan peluang untuk membangu-kan ekonomi negara yang bukan sahaja dinamik dan berdaya tahan tetapi juga memastikan ia membawa kepada kemakmuran, keamanan dan pembangunan negara yang mapan.