Ekonomi Brunei dijangka terus pulih

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Ekonomi Negara Brunei Darussalam telah pulih pada 2019 dan pemulihan itu dijangka akan berterusan pada 2020 di tengah penurunan mendadak dalam ekonomi global, menurut 2019 Annual Consultation Report on Brunei Darussalam yang diterbitkan pada 31 Ogos oleh ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO).

Menurut laporan AMRO berkenaan, keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang sebanyak 3.9 peratus pada 2019 dan dijangkakan akan terus berkembang sebanyak 2.2 peratus pada 2020 di mana ia disokong oleh operasi penuh produksi loji penapisan Hengyi di tengah penurunan mendadak ekonomi global disebabkan pandemik COVID-19.

Kadar inflasi juga kembali ke ruang negatif iaitu pada kadar -0.4 peratus pada 2019 dan diunjurkan akan kembali kepada 1.3 peratus pada 2020, sebahagiannya disebabkan melemahnya kadar pertukaran di tengah-tengah pandemik koronavirus.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa sektor luaran terus kukuh walaupun terdapat penurunan dalam lebihan akaun semasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun import yang berkaitan dengan pembinaan dan pelaburan langsung asing (FDI) telah menurun dengan beberapa projek FDI hampir siap, permulaan operasi loji penapisan Hengyi telah membawa peningkatan dalam import kimia dan minyak mentah pada 2019.

Bersama defisit perkhidmatan yang lebih besar sejak 2018, lebihan akaun semasa juga dianggarkan semakin mengecil pada 2019. Pada 2020, pengurangan lebihan akaun semasa diunjurkan akan berterusan disebabkan penurunan mendadak dalam harga minyak dan gas.

Walau bagaimanapun, kedudukan luar terus kukuh, disokong oleh simpanan rasmi yang mencukupi dan aset dana harta luar negara.

Laporan itu menyatakan bahawa keseimbangan fiskal dijangka akan kembali kepada defisit pada Tahun Kewangan 2019/20.

Keadaan fiskal bertambah baik daripada defisit sebanyak 12.9 peratus KDNK pada Tahun Kewangan 2017/18 kepada surplus atau lebih sebanyak 0.2 peratus KDNK pada Tahun Kewangan 2018/19 yang mencerminkan harga minyak dan gas yang lebih tinggi dan kekangan berterusan dalam perbelanjaan fiskal.

Namun begitu, harga minyak dan gas menurun pada 2019 dan menurun mendadak pada awal 2020 serta dijangka akan terus rendah bagi 2020 di mana ia akan menyebabkan imbangan fiskal dianggarkan kembali defisit sebanyak 7.2 peratus KDNK pada Tahun Kewangan 2019/20 dan 11.1 peratus KDNK pada Tahun Kewangan 2020/21.

Laporan itu menyatakan lagi bahawa sektor kewangan terus kukuh dan pertumbuhan kredit semakin pulih. Bank juga terus bermodalkan dengan baik yang dicerminkan dalam nisbah kecukupan modal yang tinggi sebanyak 20.1 peratus pada 2019. Mereka terus mengaut keuntungan dan meningkatkan pulangan mereka di tengah nisbah pinjaman ke deposit yang agak rendah, yang meningkat pada suku terakhir apabila pertumbuhan kredit meningkat.

Pertumbuhan kredit telah pulih sejak 2018 dan dijangkakan akan terus positif pada 2020 yang disokong oleh kredit isi rumah. Berkaitan dengan kualiti aset, nisbah pinjaman tidak berbayar telah dibendung pada 2019.

Laporan berkenaan menyatakan bahawa risiko utama yang dihadapi oleh ekonomi Brunei dalam jangka pendek dan sederhana adalah berkaitan dengan kebergantungan yang tinggi kepada sektor minyak dan gas.

Risiko kepada sektor berkenaan boleh timbul daripada gangguan yang tidak dijangka dalam pengeluaran minyak dan gas, risiko geopolitik dan kelembapan ekonomi global utama, mungkin diperkuat oleh ketegangan perdagangan yang berterusan dan pandemik koronavirus.

Lebih-lebih lagi jika perang harga minyak akan berlaku lagi, ia akan menurunkan harga minyak dan gas lebih rendah di mana ia akan memberikan kesan buruk kepada ekonomi Brunei.

Risiko-risiko lain termasuk kelemahan usaha mempelbagaikan ekonomi yang boleh melembapkan prospek ekonomi jangka sederhana dan panjang.

Kemajuan terkini dalam usaha mempelbagaikan ekonomi telah meningkatkan prospek pekerjaan, potensi pertumbuhan dan eksport tetapi kelembapan dalam reformasi struktur dan kepelbagaian ekonomi menimbulkan risiko, jelas laporan berkenaan lagi.

AMRO menyokong penuh usaha pihak berkuasa untuk mempelbagaikan ekonomi dari sektor minyak dan gas di mana Brunei telah mencapai kemajuan yang terpuji dalam usahanya untuk mempelbagaikan ekonomi tetapi kebergantungannya kepada sektor hiliran minyak dan gas masih lagi besar.

Laporan itu menyatakan adalah amat kritikal bagi pihak berkuasa Brunei untuk terus mempelbagaikan ekonomi negara dan terus memperbaiki persekitaran doing business supaya dapat menyediakan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan fiskal bukan minyak dan gas, meningkatkan daya tahan ekonomi serta memastikan kemampanan jangka panjang.