Thursday, January 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekonomi Brunei menguncup 1.5 peratus separuh pertama 2021

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Ekonomi Negara Brunei Darussalam mencatatkan penguncupan 1.5 peratus tahun-ke-tahun pada separuh pertama tahun ini, sebahagian besarnya didorong oleh kemerosotan sektor minyak dan gas.

    Manakala pertumbuhan ekonomi global dijangka meningkat 5.9 peratus tahun ini, yang merupakan penurunan unjuran disebabkan gangguan rantaian bekalan global bagi ekonomi maju dan situasi pandemik yang semakin teruk di beberapa buah negara ekonomi membangun dan baru muncul.

    Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) mengongsikan perkara itu dalam kenyataan media Dasar BDCB ke-2 bagi tahun 2021 yang dikeluarkan di sini hari ini.

    Menurut kenyataan itu lagi, prospek ekonomi global dan serantau bergantung pada keupayaan negara masing-masing mengurangkan impak COVID-19 dan perkembangan suntikan vaksin serta rangsangan ekonomi yang mencukupi.

    BDCB turut meramalkan kadar inflasi domestik akan berada dalam lingkungan 1 hingga 2 peratus bagi tahun 2021 berdasarkan prospek inflasi global yang dijangka meningkat dan tindakan Monetary Authority Singapura yang mengetatkan dasar monetarinya.

    Penguncupan ekonomi negara sebahagian besarnya akibat kemerosotan dalam sektor minyak dan gas pada tahun 2021.

    Dalam perkembangan sektor kewangan, BDCB telah menyaksikan peningkatan 7.5 peratus tahun-ke-tahun, walau bagaimanapun risiko keseluruhan sektor perbankan pada suku ketiga 2021 telah meningkat sedikit berbanding pada suku kedua dengan kesan limpahan gelombang kedua penularan wabak COVID-19 terhadap sektor kewangan di negara ini.

    BDCB bagaimanapun menekankan kedudukan modal industri perbankan kekal kukuh dan berdaya tahan walaupun mengalami penularan COVID-19 dengan agregat Capital Adequacy Ratio sebanyak 20.3 peratus.

    Dengan peningkatan ketidakpastian berikutan dengan penularan wabak COVID-19 dan kadar faedah atau keuntungan global yang masih rendah, pulangan keuntungan bagi industri perbankan telah menurun.

    BDCB juga telah mengambil langkah-langkah bersesuaian termasuk pengeluaran kenyataan bertulis kepada setiap institusi kewangan berlesen di Negara Brunei Darussalam dan peserta BDCB FinTech Regulatory Sandbox untuk mengukuhkan langkah-langkah pembendungan sewajarnya. 

    Dalam usaha menegakkan keyakinan awam, setiap institusi kewangan berlesen juga dinasihatkan untuk memastikan ketersediaan wang tunai yang mencukupi. Di samping itu, fleksibiliti sementara terhadap peraturan bank dan syarikat kewangan mengenai klasifikasi pinjaman dan pembiayaan juga turut dikekalkan.

    Kenyataan dasar lengkap BDCB 2/2021 boleh didapatkan di laman sesawang BDCB www.bdcb.gov.bn, manakala bagi maklumat lanjut, bolehlah menghubungi talian 2388388 atau e-mel info@bdcb.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda